Trending
bhplus-old

Ulat tiket jadi tauke bas ekspres

farid_noh@bh.com.my

Memang ramai yang ada ijazah tetapi belum tentu mereka boleh berjaya dalam bidang perniagaan, waima yang mendalami bidang kewangan, ekonomi atau perakaunan sekalipun.

Perniagaan adalah bidang yang perlukan kemahiran yang dipupuk, malah ramai yang berjaya adalah mereka yang bermula dari bawah sehingga dapat memahami setiap inci selok belok dan hala tuju perniagaan yang diceburi. Justeru, ramai yang berkata, jika sekadar berbekal ijazah tetapi tidak tahu buat kerja seperti melepa simen dinding umpamanya, maka baik jangan ceburi bidang bisnes sebagai kontraktor.

Inilah yang dibuktikan ramai usahawan berjaya. Begitu juga dengan Azman Mohd Arof, 54, yang kini adalah Pengarah Urusan Aerosystem Tour & Travel Sdn Bhd dan Omega Pertiwi Sdn Bhd yang menyediakan perkhidmatan bas ekspres Mayang Sari.

Rahsia beliau dapat bertahan dan maju dalam perniagaan selama 22 tahun adalah bermula dari bawah. Malah ada yang kata, daripada peringkat terendah rantaian bekalan sistem perniagaannya.

Bagi pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ini, momen beliau dalam perniagaan itu tercipta sejak beliau menjadi ulat tiket bas ekspres di Terminal Bas Puduraya, 28 tahun lalu.

Azman anak jati Bukit Pasir, Pagoh, Muar, Johor, berkata pengalaman sebagai ulat tiket menjadi pelajaran paling berguna dalam hidupnya apabila beliau didedahkan selok-belok perniagaan pengurusan bas ekspres, sehingga syarikatnya kini adalah antara yang terbesar di Malaysia. Pembabitannya sebagai ulat tiket adalah secara tidak sengaja. Takdirnya untuk menjadi tauke bas ekspres terdorong ketika mengikuti pengajian di UTM Jalan Semarak, Kuala Lumpur pada 1986.

Walaupun mendapat tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), beliau tetap tidak dapat mengelak untuk turut terjebak dalam kesempitan wang seperti rakan yang lain kerana tinggal di ibu kota.

Tidak mahu menyusahkan arwah ayah, Mohd Arof Ahmad, seorang peniaga kedai runcit dan membimbangkan ibu, Wok Hassan, di kampung, Azman nekad mencari kerja separuh masa demi menampung kehidupan sebelum ditawarkan menjadi penjual atau lebih mesra dipanggil 'ulat tiket' di Puduraya.

"Kerja sebagai penjual tiket juga tidak susah kerana saya hanya perlu memainkan peranan sebagai 'peraih penumpang' dengan mencari penumpang bas ekspres yang baru tiba di Puduraya untuk membeli tiket bas ekspres ejen perkhidmatan bas ekspres yang mengupah saya dengan membawa mereka ke kaunter tiket," katanya ketika ditemui di Pagoh, baru-baru ini.

Dengan upah antara RM20 hingga RM30 sehari beliau terus serasi menjadi penjual tiket hinggalah tamat pengajiannya di UTM sebelum dihantar JPA untuk mula bertugas di Kementerian Pertahanan.

Keserasian bekerja dalam sektor perkhidmatan bas sebelum ini menyebabkannya nekad meletak jawatan di Kementerian Pertahanan selepas hanya setahun berkhidmat sebelum kembali semula ke Puduraya.

"Ketika itu saya sudah jatuh cinta dengan sektor perkhidmatan bas dan mahu mula menceburi dalam dunia perniagaan berkenaan secara serius berikutan potensi besarnya di negara ini," katanya.

Berbekal sedikit gaji yang disimpan serta bantuan kenalan di Puduraya, Azman memberanikan diri menjadi ejen jualan tiket bas ekspres di Puduraya di samping mengupah beberapa pekerja bagi membantu operasi harian.

Percaturan meletakkan jawatan bergaji tetap tidak sia-sia apabila perniagaannya terus berkembang dan mendapat kepercayaan pelanggan menyebabkannya terus mencatur strategi perniagaan baru.

Berbekal pengalaman serta pelanggan tetap yang semakin meningkat, beliau memberanikan diri memohon permit bas ekspres daripada Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) yang kini dikenali sebagai Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) tetapi ditolak.

Tidak putus asa dengan penolakan itu, Azman nekad menyewa dua permit bas ekspres daripada kenalannya di Puduraya bagi menyediakan perkhidmatan bas ekspresnya sendiri pada tahun 1990.

  "Saya tidak pernah putus semangat apatah lagi apabila perkhidmatan bas ekspres yang dikendalikan syarikat dengan dua permit sewaan itu terus mencatat hasil memberangsangkan.

  "Ia menjadi pencetus semangat hingga saya nekad cuba memohon permit bas ekspres sendiri dengan terus berusaha berjumpa dan bersemuka dengan Menteri Perusahaan Awam ketika itu, Tan Sri Dr Yusof Noor," katanya.

Pada mulanya, Dr Yusof tidak mempedulikannya. Namun Azman terus mengejar Menteri itu ke mana saja beliau pergi setiap hari dari pejabatnya hinggalah ke Parlimen.

Mungkin akibat sudah jemu dan bosan kerana saya tidak putus asa mengekorinya setiap hari, Dr Yusof akhirnya bersetuju berjumpa saya di Kafeteria Parlimen.

"Mungkin melihat kesungguhan saya selain yakin dengan bukti perniagaan bas ekspres termasuk permit yang disewa yang dikemukakan menyebabkan beliau sendiri meluluskan 16 permit bas ekspres kepada saya," katanya.

Azman berkata, bermula dengan perkhidmatan bas ekspres ke tiga laluan iaitu Muar-Kuala Lumpur, Muar-Johor Bahru dan Johor Bahru-Kota Tinggi, kini perkhidmatan bas Mayang Sari terus berkembang membabitkan 25 laluan di Semenanjung Malaysia.

Sektor laluan jarak sederhana menjadi nadi syarikatnya apabila perkhidmatan di laluan berkenaan terus mencatatkan perkembangan pesat dan menerima permintaan tinggi pelanggan.

Contohnya laluan Muar-Kuala Lumpur, Muar-Johor Bahru, Melaka-Kuala Lumpur, Melaka-Johor Bahru serta Pontian-Kuala Lumpur menerima permintaan tinggi pelanggan terutama pada hujung minggu.

Perkhidmatan syarikat yang konsisten menyebabkan LPKP meluluskan 10 lagi permit bas ekspres sejak 2002. Dengan itu Mayang Sari menambah laluan termasuk ke Alor Star, Sungai Petani, Kulim, Kuala Terengganu, Kangar, Kota Bharu, Rantau Panjang, Butterworth dan Seremban.

Selain perkhidmatan bas ekspres, sejak 2003 Mayang Sari turut menyediakan perkhidmatan bas henti-henti apabila diminta LPKP menyambung perkhidmatan syarikat bas sedia ada yang menutup perniagaan mereka.

"Walaupun perkhidmatan bas henti-henti ini mengalami kemerosotan dan tidak menguntungkan, Mayang Sari masih meneruskannya sebagai antara khidmat komuniti bagi memberi kemudahan kepada golongan memerlukan terutama pelajar sekolah dan penduduk luar bandar," katanya.

Selepas 22 tahun beroperasi, perkhidmatan bas ekspres Mayang Sari terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara syarikat bas terbesar yang berpangkalan di selatan tanah air apabila kini memiliki 125 bas ekspres dan henti-henti, dua bas sewa khas dan seramai 200 pekerja termasuk pemandu bas.  

Sejajar perubahan masa, Mayang Sari menambah baik perkhidmatan termasuk memperkenalkan pembelian tiket secara online atau e-ticketing di laman web syarikat bagi keselesaan pelanggan memeriksa tiket serta waktu perjalanan.

INFO   

Nama pemilik: Azman Mohd Arof

Usia: 54

             - Sekolah Sains Johor, Kluang

             - Politeknik Ungku Omar, Perak (Diploma Kejuruteraan Mekanikal)

             - Universiti Teknologi Malaysia (UTM) (Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal)

* Bas - 125

* Laluan - 25

* E-Ticketing - http://www.mayangsariexpress.com.my

Related Article