Trending
Auto

Ducati Multistrada V4S 'Raja ADV' baharu

KUALA LUMPUR: Ducati Multistrada V4S baharu adalah antara motosikal pengembaraan lasak (ADV) dua kegunaan paling berkuasa yang terdapat di pasaran ketika ini, didatangkan dengan gabungan prestasi ekstrem yang hampir sempurna, keselesaan tertinggi, amat praktikal dan tahap teknologi yang tiada tandingannya.

Jika sebelum ini varian BMW GS paling popular dan dianggap sebagai 'Raja ADV', namun kini Multistrada V4 adalah pencabar utama atau boleh dikatakan keupayaannya sudah mengatasi yang disebut terdahulu.

Umumnya, Ducati Multistrada (MTS), dari 1200S hingga 1260S dan 950S, adalah antara motosikal pengembaraan pilihan penulis kerana ia memiliki karektor sportbike, kuasa 'raw' dan juga amat agresif dalam pelbagai situasi perjalanan.

Mengadaptasi sebahagian konsep dan komponen model sportbike Panigale V4 ke dalamnya, Multistrada V4 adalah model motosikal pengembaraan yang amat ekstrem dari segi kuasanya, selain daripada mampu mengharungi pelbagai situasi tunggangan dengan stabil dan cemerlang.

Dilancarkan secara rasmi pada September tahun lalu, Multistrada V4 dan V4s baharu ini turut menerusi legasi itu, dalam pada padat dilengkapi teknologi terkini sokongan tunggangan, maka ia mengangkat kepuasan dan keseronokan tunggangan 'Multistrada' ke tahap baharu sepenuhnya.

Perbezaan antara varian V4 dan V4S adalah V4 dilengkapi kluster digital 5-inci manakala V4S dilengkapi dengan kluster digital 6.5-inci boleh laras serta dilengkapi dengan fungsi cerminan bersama Ducati Connect dan Ducati Connect and Ducati Multimedia System.

Pencetus utamanya adalah enjin Granturismo V4 1,158cc baharu, menghasilkan kuasa amat padu sehingga 170hp padu dan tork 125Nm. Ini menjadikannya menjadikan ia sebagai ADV paling berkuasa dalam kelasnya.

Enjin V4 berasal daripada model supersport Panigale V4, diubah suai, ditala semula dengan ketara dan dinamakan sebgai Grandturismo. Meskipun menukar tradisi dengan menggantikan enjin tradisi Desmodromic injap aktif rantai tetapi sebaliknya menggunakan enjin injap spring konvensional, dan menjadikan ia enjin 4-silinder yang dihidupkan semula, namun ternyata adalah lebih baik, lancar dan berkuasa berbanding yang sebelumnya.

Selain itu, ia juga menjadikan jarak tempoh pemeriksaan injap juga lebih lama iaitu kini pada 60,000 kilometer (km) berbanding hanya lebih kurang 10,000 km pada model terdahulu.

Berpeluang menunggang uji V4S, terasa fungsi elektroniknya mungkin adalah yang paling sofistikated untuk sebuah motosikal, namun menarik untuk membiasakan diri dalam menggunakan teknologi baharu. Kecanggihan itu termasuk ia dilengkapi dengan radar di depan, sisi dan belakang. Selain daripada mengesan dan memberi isyarat kenderaan pada 'blind spot', paling menarik adalah sistem 'adaptive cruise control'.

Jika sebelum, sistem kawalan tunggang ini seperti yang terdapat pada motosikal berkuasa tinggi adalah 'kaku' di mana penunggang atau sistem itu terpaksa dihentikan ketika terdapat kenderaan di hadapan dan kemudian perlu diaktifkan semula, namun sistem responsif pada V4S ini secara automatik memperlahankan kelajuannya jika terdapat kenderaan di hadapan sebelum memecut semula sebaik sahaja laluan kosong.

Selain itu, antara yang terdapat pada model ini adalah 'quick-shifter' atas/bawah yang lancar; suspensi Sky-Hook semi automatik; 'cornering-compensated ABS'; kawalan cengkaman (TC); 'wheelie control'; 4-mod tunggangan; sistem navigasi/hiburan/komunikasi on-dash yang didayakan telefon; sistem apungan bagasi serta pemanas tempat duduk dan pemegang.

Terdapat empat mod tunggangan untuk dipilih bergantung pada situasi tunggangan, dan mod ini juga disambungkan kepada tetapan mod beban serta sistem suspensi separuh aktif Ducati Skyhook.

Dalam erti kata lain, terdapat pelbagai konfigurasi dapat ditetapkan untuk memastikan anda boleh menunggang MTS V4 S pada potensi penuhnya.

Juga wajar disebutkan, punat dan 'joystick' untuk mengaktifkan pelbagai sistem pada motosikal ini ada mudah dicapai dan senang digunakan, semuanya hanya di hujung jari.

Dari segi tunggangan, V4S adalah amat mudah dikendalikan walaupun tampak besar, manakala penyampaian kuasa adalah juga mantap walaupun untuk penunggang baharu. Jika berkehendakkan tunggangan lebih agresif, anda boleh saja menukar mod kepada 'sport' atau 'enduro' dan terus meluncur 'terbang'.

Ducati mungkin sudah memasuki wilayah BMW iaitu dengan tawaran terbaharu Multistrada V4S yang padat dengan teknologi terkini, pecutan serta kelajuan lebih daripada 250kmh pada jalan lurus, sangat stabil mengharungi selekoh, ringan dan lincah mengharungi pelbagai permukaan laluan.

Mungkin ada beranggapan harga Multistrada V4 dan V4S yang ditawarkan masing-masing pada RM135,900 dan RM146,900 terlalu tinggi, namun setelah pengalaman menunggang dan berdasarkan apa terdapat pada model motosikal ini, ia dirasakan seperti itulah harga sewajarnya.

Terlalu banyak yang boleh diperkatakan tentang model ini, namun sebagai kesimpulannya, Multistrada V4S adalah antara sebilangan kecil motosikal yang berjaya menyeimbangkan antara keselesaan, keselamatan dan kuasa. Ia kekal memiliki sifat semula jadi motosikal Itali yang khusus dan tulen, yang mana dirasakan 'sukar' untuk diadaptasi oleh pengeluar motosikal lain.

SPESIFIKASI:

Engine: 1158cc, sejukan cecair, 90-darjah V4

Rangka: Aluminum monocoque

Kapasiti tangki: 22 litres

Ketinggian ke tempat duduk: 840mm

Berat: 240kg

Suspensi hadapan: 50mm boleh laras sepenuhnya

Suspensi belakang: Monoshock boleh laras sepenuhnya

Brek hadapan: ABS 2x330mm cakera dengan kaliper 4-piston Brembo Stylema

Brek belakang: Cornering ABS 265mm cakera dengan kaliper 2-piston Brembo Front Tayar hadapan: 120/70x19

Tayar belakang: 170/60x17

Kuasa maksimum: 170 bhp

Tork maksimum: 125Nm

Related Article