Trending
Auto

Great Wall Motor tubuh operasi di Malaysia

KUALA LUMPUR: Great Wall Motor Corporation Limited memasuki Malaysia secara rasmi bagi melaksanakan operasi secara menyeluruh dengan menubuhkan anak syarikat, Great Wall Motor Sales Malaysia Sdn Bhd.

Menerusi Great Wall Motor Sales Malaysia, syarikat automotif terkemuka China itu akan membuat penampilan sulungnya dalam arena automotif tempatan dengan jenama GWM.

Great Wall Motor Co adalah syarikat teknologi pintar global selain menjadi pengeluar kenderaan utiliti sukan (SUV) dan pikap terbesar di China.

Fokus utamanya adalah mobiliti pintar dan mampan yang menepati citarasa dan keperluan pengguna di seluruh dunia.

Great Wall Motor Co memiliki enam jenama kereta iaitu Haval, Wey, Ora, Tank, Great Wall Pickup dan Saloon yang menghasilkan sedan, SUV, pikap dan kenderaan dengan menggunakan tenaga baharu.

Presiden Great Wall Motor bagi ASEAN, Zhang Jiaming, berkata pasaran Malaysia akan dibangunkan mengikut strategi tenaga baharu rantau ini serta mematuhi penyampaian nilai teras tenaga baharu, teknologi pintar terkini dan menawarkan pengalaman baharu dalam memberi keutamaan terhadap pelanggan.

"Ia juga menggabungkan sepenuhnya pengalaman tempatan untuk melancarkan pelbagai sumber tenaga baharu, dalam memacu Malaysia untuk beralih daripada kenderaan cekap tenaga (EEV) kepada kenderaan elektrik (EV) secara berperingkat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan menerusi rakaman video pada majlis perasmian penubuhan Great Wall Motor Sales Malaysia di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Great Wall Motor Malaysia, Cui Anqi.

Malaysia adalah pasaran yang diterokai Great Wall Motor Co selepas Thailand.

Ketika ini, Great Wall Motor telah memiliki lebih daripada 5,000 pusat jualan dan servis di seluruh China.

Ia juga memiliki lebih 700 rangkaian jualan luar negara, dengan kesemuanya mencatat kejayaan yang memberangsangkan.

Sehingga akhir 2021, Great Wall Motor menjual lebih 11 juta kenderaan di seluruh dunia, dengan lebih sejuta kenderaan dijual bagi tempoh enam tahun berturut-turut.

Anqi berkata, syarikat itu menyasarkan untuk terus menerokai pasaran Malaysia bagi meningkatkan pelaburan di negara ini dengan melaksanakan pemasangan tempatan (CKD) menerusi kerjasama dengan Go Auto Group.

"Di samping itu, GWM juga akan mewujudkan rangkaian pengedarnya yang berkualiti tinggi serta susun atur rangkaian yang kukuh dalam mengutamakan kualiti operasi demi pengalaman unik kepada pengguna di Malaysia.

"Dari aspek perkhidmatan selepas jualan, Great Wall Motor juga akan memulakan operasi pusat alat ganti di Malaysia bersama-sama dengan perkhidmatan sokongan daripada segi teknikal.

"Pusat khidmat pelanggan yang beroperasi sepanjang masa telah dibangunkan untuk menawarkan perkhidmatan 'end-to-end' kepada pengguna Malaysia," katanya.

Melangkah ke hadapan, beliau berkata, Great Wall Motor akan memperkukuhkan kehadirannya di Malaysia dengan memperkenalkan rangkaian kereta berkonsepkan retro, SUV bandar, SUV lasak, pikap dan banyak lagi bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan sambil mempromosikan peningkatan penggunaan kenderaan.

"GWM Malaysia akan terus menggaji ramai profesional tempatan, serta mendedikasikan masa dan tenaga demi memupuk bakat, menggalakkan pembangunan ekonomi dan membolehkan Malaysia dan GWM untuk memperkasakan satu sama lain dan membangun secara simbiotik," katanya.

Syarikat automotif China itu hari ini turut memperkenalkan kereta elektrik, Ora Good Cat dengan penampilan luaran yang mewah yang bakal mencetuskan trend baharu dalam industri automotif tempatan.

Related Article