Trending
Auto

PROTON sasar keluar 180,000 enjin 1.5L TGDi setahun

TANJUNG MALIM: Proton Holdings Bhd (PROTON) menjangkakan penghasilan enjin 1.5L TGDi di kilangnya di Tanjung Malim akan mencapai kapasiti tahunan 180,000 unit dalam tempoh antara dua hingga tiga tahun lagi.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Roslan Abdullah, berkata setakat Jun lalu, lebih 2,000 enjin itu dihasilkan khusus untuk kegunaan Proton X70 2022 yang dilancarkan pada awal bulan lalu.

Katanya, kapasiti pengeluaran enjin itu akan meningkat dari semasa ke semasa kerana ia juga akan digunakan untuk model-model baharu PROTON yang akan dilancarkan pada masa akan datang.

"Pengeluaran enjin ini juga berkaitan dengan sasaran jualan PROTON. Buat masa ini, kapasiti pengeluarannya adalah sebanyak 180,000 setahun yang akan dapat dicapai dalam masa dua, tiga tahun akan datang.

"Sasaran kami bagi enjin ini bukan saja untuk Malaysia, tetapi juga untuk pasaran eksport. Ketika ini, kami telah mengeksport ke pasaran seperti Pakistan, Kenya dan Afrika Selatan serta beberapa negara lain yang sedang dibincangkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas sesi lawatan ke kilang pengeluaran enjin itu di sini, hari ini.

Beroperasi sejak April lalu, kemudahan itu menghasilkan enjin 1.5 TGDi, kali pertama ia dipasang di luar negara China dan salah satu barisan pemasangan enjin automotif tercanggih di negara ini.

Terletak di kawasan 'Enjin dan Powertrain' PROTON Tanjung Malim, barisan pemasangan itu meliputi kawasan seluas 18,000 meter persegi dan mempunyai kapasiti maksimum sebanyak 180,000 unit apabila beroperasi dalam tiga syif.

Projek itu juga adalah sebahagian daripada peruntukan RM1.8 bilion oleh PROTON untuk menaik taraf kemudahannya di Tanjung Malim.

Enjin yang pernah memenangi anugerah itu digunakan pada beberapa jenama di bawah Geely Group.

Enjin tiga silinder 1.5 TGDi dan variannya setakat ini telah digunakan dalam lebih 750,000 kenderaan yang dijual di seluruh dunia.

Dalam pada itu, Roslan berkata, selepas berakhirnya pengecualian cukai jualan pada 30 Jun lalu, pihaknya kini mempunyai tempahan tertunggak kira-kira 90,000 unit.

"Secara keseluruhannya, kami menerima tempahan sebanyak 150,000 unit, namun 60,000 telah diserahkan kepada pelanggan dan kini masih berbaki 90,000.

"Kami menyasarkan untuk menyelesaikan tunggakan ini dalam tempoh lima, enam bulan akan datang, malah mungkin ada yang lebih awal bergantung kepada model," katanya.

Related Article