Trending
Auto

PERODUA yakin penuhi tempahan 200,000 kereta

RAWANG: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) optimis untuk mendaftarkan lebih 200,000 unit kenderaan menjelang 31 Mac 2023, sekali gus membolehkan kebanyakan pelanggan menikmati pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Datuk Zainal Abidin Ahmad, berkata pengeluar kereta kompak nasional itu menerima tempahan luar biasa terutama ketika ramai pelanggan mahu memanfaatkan cuti cukai yang ditawarkan kerajaan.

"Tempahan kenderaan secara tergesa-gesa dilihat ketara terutama sekali apabila kerajaan melanjutkan tempoh pendaftaran kepada 31 Mac 2023 dan kami amat berterima kasih kepada rakyat Malaysia kerana memilih PERODUA sebagai jenama pilihan mereka.

"Mengenai pengecualian SST pada hari terakhir inisiatif ini, PERODUA menyaksikan tempahan harian tertinggi pada 30 Jun 2022 dengan 25,100 tempahan kenderaan telah diambil.

"Ini tidak pernah berlaku sebelum ini dan ia bukti potensi pertumbuhan industri automotif Malaysia dengan pemberian insentif yang betul," katanya pada sidang media pengumuman prestasi separuh pertama PERODUA di sini, hari ini.

Bagi tempoh enam bulan pertama 2022, PERODUA menjual 127,343 unit, melonjak 30 peratus berbanding 97,290 unit yang dijual dari Januari hingga Jun 2021.

Zainal Abidin berkata, prestasi memberangsangkan itu dipacu permintaan kukuh untuk kenderaan pada separuh pertama 2022 disebabkan oleh tarikh akhir pengecualian cukai jualan.

Daripada 127,343 unit yang didaftarkan, Perodua Myvi masih menjadi model paling laris dengan 38,039 unit didaftarkan diikuti dengan Perodua Axia sebanyak 29,183 unit dan Perodua Bezza sebanyak 28,719 unit.

"Selain daripada inisiatif pengecualian cukai jualan yang berakhir pada 30 Jun 2022, faktor utama lain yang menyumbang kepada prestasi ini ialah pendaftaran kenderaan yang rendah pada Jun tahun lalu disebabkan sekatan pergerakan kali kedua dalam mengurangkan kes jangkitan COVID-19.

"Sebagai perbandingan, untuk Jun 2021, PERODUA hanya mencatatkan 1,009 unit, manakala pada Jun 2022, kami menjual 21,164 unit," katanya.

Pada perbandingan bulan ke bulan, prestasi jualan PERODUA meningkat 10.7 peratus daripada 18,901 unit yang didaftarkan pada Mei 2022.

Zainal Abidin berkata, peningkatan pendaftaran pada Jun 2022 juga disebabkan bekalan alat ganti yang lebih baik berbanding Mei.

Bagaimanapun, katanya, isu seperti tenaga kerja mahir dan kekurangan alat ganti masih wujud dan berharap pelanggan dapat memahami keadaan ini.

"Kami ingin memohon maaf kerana pelanggan terpaksa menunggu lama untuk menerima kenderaan mereka dan kami sedang melakukan sebaiknya untuk meningkatkan lagi pengeluaran," katanya.

Zainal Abidin berkata, langkah terbabit termasuk kerjasama dengan pembekal dan dalam beberapa kes tertentu, PERODUA turut menyediakan kakitangannya untuk bekerja di premis mereka bagi memastikan bekalan alat ganti terus mengalir.

"Kami berharap isu tenaga kerja ini dapat diselesaikan dengan segera kerana impaknya kepada industri dan kepada negara secara amnya," katanya.

Mengenai kekurangan alat ganti, katanya, komunikasi dengan pembekal dan rakan kongsi masih lagi berterusan untuk mencari komponen alternatif.

"Di sebalik isu ini, PERODUA masih mengekalkan sasaran jualan keseluruhan tahun ini sebanyak 247,800 unit," katanya.

Related Article