KUALA LUMPUR: Penyedia carian rumah sewa atas talian, Speedhome menggesa Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA) memperkasakan lagi usaha memerangi ejen hartanah haram bagi melindungi sektor itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Speedhome, Wong Whei Meng, berkata MIEA juga perlu melihat kepentingan kewujudan platform hartanah dalam talian sebagai salah satu inisiatif baru dalam situasi hari ini.
Beliau berkata, MIEA perlu mengubah perspektifnya dalam melihat syarikat teknologi seperti Speedhome sebagai ejen hartanah haram.
"MIEA perlu memerangi peserta industri yang melanggar undang-undang dan bukannya menolak syarikat teknologi yang menyediakan penyelesaian inovatif kepada permasalahan pasaran selama ini.
"Perlu diperjelaskan, permintaan dan kehendak pengguna ketika ini sentiasa berubah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Whei Meng berkata, kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif MIEA baru-baru ini mengenai syarikat teknologi yang cuba memintas undang-undang adalah tidak wajar.
Beliau berkata, tindakan itu melemahkan kerja keras dan inovasi syarikat teknologi lain yang telah mencipta satu penyelesaian dan nilai baru untuk pasaran.
Katanya, dengan adanya pelbagai latar belakang industri dan peserta industri di dalam pasaran, ia dapat menghasilkan idea baru kepada masalah lama dengan mengambil perspektif yang berbeza.
Sebagai contoh katanya, Speedhome telah mempelopori konsep Insurans Tuan Rumah di rantau ini bersama dengan Allianz General Insurance (Malaysia) Bhd bagi menawarkan insurans terbaik dalam pasaran sewaan kediaman.
"Dengan lebih ramai peserta industri seperti Speedhome yang mengambil bahagian dalam industri, persekitaran yang lebih padu, selamat dan telus dapat dihasilkan.
"Secara khususnya dalam Insurans Tuan Rumah pula, Speedhome telah mencipta perlindungan yang jauh lebih baik daripada model deposit tradisional.
"Kami kecewa kerana MIEA tidak memandang progresif dengan pembabitan lebih banyak peserta industri sama ada dalam bidang teknologi atau bukan teknologi untuk membina pasaran yang lebih matang," katanya.
Mengulas lanjut, Whei Meng berkata, Speedhome adalah agensi insurans am berlesen dan menjana pendapatan melalui penjualan polisi insurans.
Beliau berkata, Speedhome adalah sebuah agensi insurans berlesen dan tidak boleh dilabel sebagai agensi hartanah.
Justeru itu katanya MIEA mestilah mengubah kebiasaan melabel syarikat teknologi yang mengambil bahagian dalam industri hartanah sebagai 'broker haram'.