Trending
Hartanah

Pelabur hartanah beralih minat

KUALA LUMPUR: Minat pelabur berubah dan peralihan kepada pelaburan alternatif dijangka bertambah baik dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, demikian menurut Knight Frank Malaysia.

Ia berikutan keperluan untuk meningkatkan daya tahan dalam portfolio hartanah mereka dalam persekitaran pemulihan pasca pandemik negara.

Menurut Kaji Selidik Sentimen Pelaburan Hartanah Komersial Malaysia dilakukan Knight Frank, pelabur telah menunjukkan minat dalam kediaman servis, hotel, pejabat bekerja bersama/fleksibel, kediaman untuk warga emas/rumah persaraan dan pusat data.

Pelabur juga minat di luar Lembah Klang kerana Sabah, Johor dan Pulau Pinang adalah antara destinasi popular untuk pelaburan alternatif berkenaan.

Knight Frank Malaysia dalam satu kenyataan berkata, kaji selidik itu juga mendedahkan bahawa 76 peratus responden menjangkakan subsektor perindustrian dan logistik akan menikmati peningkatan nilai modal pada 2022 dengan 57 peratus menjangkakan perkara yang sama untuk subsektor penjagaan kesihatan.

Daripada segi prestasi hasil, 68 peratus responden mengunjurkan hasil akan meningkat dalam subsektor logistik dengan jangkaan hasil yang lebih tinggi untuk subsektor penjagaan kesihatan dan industri.

"Pendapat ini adalah sama dengan peningkatan dalam sewa serta sewa hartanah logistik dan dalam subsektor Industri dijangka meningkat, sejajar dengan permintaan yang semakin meningkat bagi kedua-dua subsektor ini," katanya.

Bagaimanapun, Knight Frank juga menjangkakan penghunian ruang pejabat akan berkurangan disebabkan tekanan berterusan terhadap kadar penghunian dan kadar sewa apabila bekalan terus melebihi permintaan.

Pengarah Eksekutif Penyelidikan dan Perundingan Knight Frank Malaysia, Amy Wong, berkata responden yakin subsektor logistik dan perindustrian akan pulih paling pantas dalam tempoh 12 bulan akan datang bersama-sama dengan subsektor penjagaan kesihatan.

"Subsektor tradisional seperti hotel/riadah, pejabat dan runcit dilihat oleh responden sebagai permainan jangka panjang," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusannya, Sarkunan Subramaniam berkata kesedaran dan penggunaan rangka kerja tadbir urus alam sekitar, sosial dan korporat yang semakin meningkat dalam industri hartanah akan membantu memacu nilai hartanah mampan pada masa depan.

-BERNAMA

Related Article