Trending
Korporat

DBhd dapat lanjutan kontrak RAPID

KUALA LUMPUR: Damansara Holdings Bhd (DBhd) memperoleh kontrak lanjutan bagi pengurusan kemudahan bersepadu (IFM) daripada PETRONAS Refinery and Petrochemical Corporation Sdn Bhd (PRPC) dengan jumlah keseluruhan RM67 juta.

Syarikat itu yang sebelum ini dikenali sebagai Damansara Realty Bhd (DBhd) berkata, lanjutan kontrak itu membabitkan perkhidmatan IFM dan pengurusan infrastruktur bagi Penempatan Sementara RAPID (RTEV) serta Pejabat Pengurusan Sementara RAPID (RTMO).

"Kontrak lanjutan dianugerahkan kepada anak syarikat Kumpulan DBhd iaitu TMR LC Services Sdn Bhd (TMRLC), yang akan menyediakan perkhidmatan pengurusan kemudahan bersepadu di The Hive untuk operasi dan penyelenggaraan (O&M), bangunan dan infrastruktur serta penginapan dan kafeteria," katanya.

Pengarah Urusan Kumpulan DBhd, Azman Tambi Chik, berkata syarikat amat amat berbesar hati dan berterima kasih atas kepercayaan dengan penganugerahan lanjutan kontrak yang diberikan.

"Ini satu testimoni yang menunjukkan rekod cemerlang perkhidmatan kami sejak empat tahun yang lalu," katanya.

Beliau berkata, di samping kontrak lanjutan terbabit, PRPC juga menganugerahkan skop tambahan perkhidmatan O&M untuk pusat pelawat dan bangunan bukan proses di RAPID kepada TMRLC, termasuk peruntukan bekalan pejabat dan pantri.

"Kami akan terus komited untuk menjadi salah satu penyedia pengurusan aset dan fasiliti yang terbaik di Malaysia.

"Dengan tiga segmen perniagaan di bawah satu bumbung iaitu pengurusan kemudahan bersepadu, pembangunan hartanah dan perundingan pengurusan projek, DBhd mampu memberikan perkhidmatan terbaik untuk semua pelanggan," katanya.

Related Article