Trending
Korporat

Bintai Kinden, firma Australia bangun projek hartanah RM470 juta

KUALA LUMPUR: Bintai Kinden Corporation Bhd bekerjasama dengan syarikat berpangkalan di Australia, International Equities Corporation Ltd, untuk mengusahakan bersama dua projek pembangunan dan pengurusan hartanah bercampur dengan kemudahan penjagaan kesihatan dan perkhidmatan kesihatan di Melaka serta Pulau Pinang.

Bintai Kinden akan menerajui projek itu yang dibangunkan di dua bidang tanah pegangan kekal seluas 2.16 hektar di Melaka dan Pulau Pinang dengan anggaran nilai pembangunan kasar RM470 juta.

International Equities pula sebaliknya akan menyediakan perundingan teknikal, perancangan, reka bentuk, pembangunan dan perkhidmatan lain bagi membantu Bintai Kinden membangunkan dan mempromosikan projek.

Pengarah Urusan Bintai Kinden, Ong Choon Lui, berkata kerjasama dengan International Equities itu adalah sejajar dengan pelan strategik syarikat untuk meneroka peluang dan mempelbagaikan perniagaannya dengan terbabit dalam pembangunan dan pengurusan hartanah bagi mengukuhkan lagi pendapatan kumpulan.

"Kami percaya kerjasama itu akan membolehkan kumpulan memanfaatkan pengalaman dan kepakaran International Equities dan mempercepat projek pembangunan hartanah dalam pelbagai segmen pasaran tempatan, serantau dan antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.

Choon Lui berkata, Melaka dan Pulau Pinang kaya dengan sejarah serta budaya serta antara destinasi utama pelancongan di Malaysia.

Bagi pemulihan pasca COVID-19, syarikat itu percaya hartanah kediaman adalah barisan hadapan seterusnya yang akan berubah secara radikal menerusi pergerakan holistik dan kesihatan.

Selain daripada pembangunan hartanah, Bintai Kinden juga akan terbabit dalam pengedaran vaksin COVID-19 untuk menjana sumber pendapatan baharu memandangkan persekitaran tidak menentu dalam perniagaan mekanikal teras dan kejuruteraan elektrik membabitkan tender projek disebabkan pandemik berkenaan.

Bintai Healthcare Sdn Bhd, anak syarikat Bintai Kinden, memperoleh hak eksklusif daripada Generex Biotechnology Corporation dan anak syarikatnya, NuGenerex ImmunoOncology Inc., untuk mengedar, menjual dan mengkomersialkan vaksin COVID-19 di Malaysia, Brunei, Myanmar, Kemboja, Timor-Leste, Indonesia, Laos, Filipina, Singapura, Thailand serta Vietnam.

-BERNAMA