KUALA LUMPUR: Kejuruteraan Asastera Bhd (KAB), penyedia perkhidmatan kejuruteraan elektrik dan mekanikal menerusi anak syarikat milik penuhnya KAB Telco Sdn Bhd (KABTEL) bersama dengan MRH Empire Sdn Bhd akan membentuk syarikat usaha sama untuk meneroka perniagaan sektor prasarana telekomunikasi tempatan.
KAB dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata syarikat usaha sama itu yang 60 peratus dimiliki oleh KABTEL dan 40 peratus oleh MRH, akan secara eksklusif meneruskan projek telekomunikasi sedia ada dan baharu di Malaysia.
Pengarah Urusan KAB Datuk Lai Keng Onn berkata penerokaan syarikat itu ke dalam industri telekomunikasi akan meningkatkan pendapatan berulang KAB selain daripada perniagaan sedia adanya ketika ini.
"Berdasarkan kepada pencapaian yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia dari segi kesalinghubungan, kami percaya kami berada di landasan pertumbuhan pesat.
"Kami menjangka pembangunan semua tapak akan selesai menjelang 2025 dan selepas semuanya siap kelak, nilai pembangunan kasar dianggarkan bernilai lebih RM500 juta," katanya.
Menurut KAB, MRH memperoleh kelulusan untuk meninjau dan membangunkan sehingga 1,342 tapak di seluruh Malaysia Timur dan Barat bagi pembangunan menara telekomunikasi.
"MRH juga memeterai memorandum persefahaman dengan pengendali telekomunikasi terkemuka tempatan untuk menjalin kerjasama dan menyertai bersama dalam pembangunan prasarana dan kesalinghubungan digital bagi 1,342 tapak," katanya.
KAB berkata usaha sama itu merupakan perkongsian pertama syarikat itu di dalam negara untuk membina dan mengendalikan menara telekomunikasi.
"Syarikat sedang bekerjasama rapat dengan rakan kongsinya untuk memanfaatkan kepakarannya dalam industri telekomunikasi yang termasuk membekalkan menara telekomunikasi, membina keupayaan optik gentian dan membangunkan In Building Coverage (IBC) dan Small Cell," kata KAB.
– Bernama