Trending
Korporat

Supermax yakin bebas isu buruh paksa

KUALA LUMPUR: Supermax Corporation Bhd yakin bahawa pekerja di tapaknya adalah bebas daripada isu buruh paksa sistemik dan ia tidak melanggar mana-mana 11 petunjuk buruh paksa Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Pengeluar sarung tangan getah itu juga optimis bahawa semua amalan serta dasar sumber manusia (HR) semasanya adalah memenuhi jangkaan badan antarabangsa termasuk Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS).

Syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, sejak Januari 2022, ia telah melaksanakan langkah-langkah yang disokong oleh Dasar Pengurusan Pekerja Asing yang komprehensif bagi mengukuhkan polisi serta amalan pengurusan HR dan pekerja asing sehingga sejajar dengan piawaian ILO pada hari ini.

Supermax juga telah memulakan usaha untuk memenuhi piawaian ILO sejak 2019 dengan pengenalan yuran pengambilan kos sifar dan antara yang pertama dalam industri untuk berbuat demikian.

Syarikat itu kemudian terus berusaha dalam memenuhi piawaian ILO, namun usahanya terhalang oleh wabak COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan di negara ini.

"Seterusnya, beberapa audit bebas memudahkan pemahaman lanjut mengenai petunjuk buruh paksa ILO diwujudkan untuk membolehkan syarikat memperhalusi lagi amalan HR," katanya.

Pada November 2021, syarikat itu melibatkan perunding HR yang berpengalaman dalam bidang pematuhan sosial untuk membantu memudahkan kerja pada rangka kerja pematuhan dan membimbing proses pemulihannya.

Ini membawa kepada pelancaran dasar baharunya di antara inisiatif-inisiatif lain yang mana kerja-kerja telah selesai dalam pelbagai peringkat.

"Setakat ini, syarikat telah memperkenalkan beberapa inisiatif seperti pengenalan gaji termasuk manfaat yang sama rata untuk pekerja tempatan dan asing selain memperkenalkan pendekatan pengurusan sumber manusia hibrid bagi vendor di tapak.

"Syarikat juga telah menghapuskan tempoh pemotongan untuk pemulihan bekas pekerja dan melaksanakan gaji minimum yang lebih tinggi daripada gaji minimum berkanun pada Disember 2021," katanya.

Ia juga telah berjaya melaksanakan talian bantuan pekerja bebas untuk menggalakkan konsistensi, ketelusan dan keadilan dalam pengendalian, pengurusan masalah dan aduan di tempat kerja.

Selain itu, Jawatankuasa Pekerja seramai 24 anggota yang dipilih oleh pekerja terlibat sepenuhnya dalam mengukuhkan kebajikan pekerja dan hubungan buruh.

Supermax akan terus memastikan ia mengekalkan standard tertinggi dalam pengurusan buruh selaras dengan piawaian antarabangsa yang ditakrifkan oleh ILO.

Pada tengah hari tadi, saham Supermax meningkat 1.75 peratus kepada 87 sen, dengan 9.82 juta saham bertukar tangan.

-BERNAMA

Related Article