Trending
Korporat

Unit PGB beli tanah RM38 juta di Johor

KUALA LUMPUR: Paragon Platinum Sdn Bhd (PPSB), anak syarikat milik penuh Paragon Globe Bhd (PGB) memeterai tiga perjanjian jual beli (SPA) bagi membeli tiga bidang tanah pertanian pegangan bebas di Johor pada harga RM38.079 juta.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, pemaju hartanah itu berkata, cadangan pembelian itu akan mewujudkan nilai ekonomi yang lebih besar dan meningkatkan potensi pendapatan syarikat dalam jangka masa sederhana hingga panjang memandangkan tiga bidang tanah di Johor Bahru itu, yang berkeluasan 10.86 hektar, mempunyai potensi pembangunan yang menguntungkan.

"Adalah menjadi hasrat PGB untuk membangunkan tanah itu menjadi kawasan komersial yang dikonsepkan dengan baik," katanya.

Pembelian yang dicadangkan itu dijangka tidak mempunyai sebarang kesan material ke atas pendapatan dan pendapatan sesaham PGB bagi tahun kewangan berakhir masing-masing bagi 31 Mac 2022 dan 31 Mac 2023, namun dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan dan pendapatan sesaham syarikat.

Ia juga tidak dijangka mempunyai sebarang kesan material ke atas aset bersih sesaham PGB kecuali jika pengumpulan dana ekuiti terbabit.

Tanpa mengambil kira perkara luar jangka, cadangan pembelian itu dijangka disempurnakan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh perjanjian jual beli.

Ia dijangka dibiayai melalui gabungan dana yang dijana secara dalaman dan atau pinjaman bank dan atau pelaksanaan pengumpulan dana korporat yang lain.

Bagaimanapun, kuantum yang tepat dan hasil bahagian dana dalaman, pinjaman bank dan atau pengumpulan dana ekuiti belum dapat dipastikan pada ketika ini, kata PGB.

-BERNAMA

Related Article