Trending
Korporat

Sukuk Bank Muamalat dapat sambutan pelabur

KUALA LUMPUR: Bank Muamalat Malaysia Bhd menerima sambutan memberangsangkan daripada pelabur pelbagai latar belakang, menerusi proses pelaksanaan penetapan harga Sukuk Murabahah Subordinat bernilai RM300 juta, baru-baru ini.

Sukuk yang bakal diterbitkan pada 20 Julai ini ditetapkan pada harga kompetitif 5.33 peratus.

Proses penetapan harga itu juga berjaya mencatatkan nisbah bidaan kepada terbitan (BTC) tinggi sebanyak 2.31 kali sebelum ditutup pada 1.85 kali membabitkan cadangan saiz terbitan dengan penyertaan pelabur baharu.

Sukuk Murabahah Subordinat bernilai RM300 juta itu adalah terbitan siri ketiga di bawah Program Murabahah Sukuk Murabahah Subordinat 20 tahun Bank Muamalat (2016/2036) yang layak sebagai modal Tahap-2 di bawah Dokumen Dasar Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai Rangka Kerja Kecukupan Modal untuk Komponen Modal Bank Islam.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Mualamat, Khairul Kamarudin, berkata minat terhadap sukuk terbabit menggambarkan keyakinan pasaran terhadap asas serta hala tuju strategik bank itu yang kukuh.

"Hasil yang terkumpul itu akan dimanfaatkan untuk aktiviti perbankan Islam dan keperluan modal kerja kami, sekali gus dapat meletakkan Bank Muamalat dalam kedudukan lebih kukuh bagi pertumbuhannya secara berterusan," katanya dalam satu kenyataan.

Bank Muamalat dalam kenyataan itu berkata, pengurus utama bersama sukuk terbabit telah menerima tempahan daripada pelbagai pelabur termasuk yang mewakili institusi kewangan, syarikat pengurusan aset, agensi kerajaan, syarikat insurans dan juga pelabur dengan nilai bersih yang tinggi.

Bank Muamalat adalah penasihat utama, pengatur utama dan pengurus utama bersama OCBC Al-Amin Bank Bhd.

Manakala, pengurus utama bersama lain termasuk Bank Islam Malaysia Bhd, Maybank Investment Bank Bhd dan RHB Investment Bank Bhd.

Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan, Khairul berkata MARC Ratings baru-baru ini telah menaik taraf penarafan institusi kewangan bank itu kepada A+/MARC-1 dan pada masa sama menaikkan penarafan Program Nota Senior Islam (Sukuk Senior) bank berkenaan sehingga RM2 bilion kepada A+IS dengan prospek stabil.

Langkah itu, katanya adalah berteraskan kepada peningkatan berterusan Bank Muamalat dalam prestasi kewangannya, terutama aspek kualiti aset dan metrik keuntungan yang seiring dengan bank lain dalam lingkungan penarafan sama.

Related Article