Trending
Korporat

Alliance Bank naikkan kadar pinjaman mulai 13 Julai

KUALA LUMPUR: Alliance Bank Malaysia Bhd akan menaikkan kadar asas, kadar pinjaman asas (BLR) dan kadar pembiayaan asas (BFR) sebanyak 25 mata asas (bps) berkuat kuasa 13 Julai 2022 susulan semakan Bank Negara Malaysia (BNM) ke atas Kadar Dasar Semalaman (OPR).

BNM memutuskan untuk menaikkan OPR sebanyak 25 bps kepada 2.25 peratus semasa mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) kali keempat tahun ini.

Menerusi kenyataan pada Khamis, Alliance Bank menjelaskan kadar asas akan dilaraskan daripada 2.82 peratus kepada 3.07 peratus setahun manakala BLR dan BFR akan dinaikkan daripada 5.67 peratus kepada 5.92 peratus setahun.

"Semakan itu akan terpakai bagi semua pinjaman dan/atau pembiayaan sedia ada yang bersandarkan kadar asas, BLR dan BFR. Selain itu bank juga akan melaraskan kadar deposit tetap menaik pada tarikh kuat kuasa yang sama.

"Sejajar dengan semakan itu, bank akan menaikkan kadar simpanan bagi akaun simpanan asas, akaun simpanan kanak-kanak dan akaun simpanan warga emas serta akaun Alliance SavePlus yang menawarkan kadar simpanan lebih tinggi dan fleksibiliti transaksi kepada pelanggan," jelasnya.

-BERNAMA

Related Article