Trending
Korporat

Petronas Dagangan sasar buka 50 Cafe Mesra

SUBANG JAYA: Petronas Dagangan Bhd (PDB) merancang untuk mengembangkan portfolio bukan bahan apinya menerusi perniagaan makanan dan minuman (F&B) dan untuk itu, ia berhasrat membuka 50 Cafe Mesra di stesen-stesen Petronas seluruh negara menjelang akhir tahun.

Naib Presiden dan Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif PDB Azrul Osman Rani berkata pembukaan Cafe Mesra menandakan satu lagi pencapaian penting bagi kumpulan itu dalam segmen peruncitan, sambil menambah kafe-kafe itu kini berlokasi secara strategiknya di 12 stesen Petronas di sekitar Lembah Klang dan Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan.

Beliau berkata sejak dua tahun lepas, sektor minyak dan gas runcit telah mengalami beberapa gangguan dan syarikat tidak terkecuali daripada turut terkesan oleh cabaran itu.

Namun begitu, syarikat terus berusaha merebut peluang baharu untuk mengembangkan perniagaannya dalam bidang F&B, dengan membuat inovasi ke atas penawarannya dan seterusnya melancarkan Makan@Mesra pada 2020 yang telah mendapat sambut menggalakkan daripada orang ramai.

"Memandangkan kita sekarang telah beralih ke fasa endemik, kami telah bersedia untuk membawa usaha ini ke peringkat seterusnya dengan memperkenalkan Cafe Mesra, kafe kami sendiri yang melengkapkan lagi gaya hidup pelanggan kami," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Cafe Mesra di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Mesra Retail and Cafe Sdn Bhd (Mesra) Ian Malcolm Cruddas memberitahu Bernama kumpulan itu memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) antara RM70,000 hingga RM100,000 bagi setiap Cafe Mesra, tertakluk kepada konsep dan saiz kafe berkenaan.

Peruntukan bagi setiap kafe bergantung kepada sama ada ia berkonsep pandu lalu, kiosk atau kedai yang telah disesuaikan dengan saiz - dari ruang sekecil 300 kaki persegi atau seluas 1,500 kaki persegi, katanya.

"Kami menjangkakan kafe akan menjadi sebahagian besar daripada perniagaan kami dan akan menjana sejumlah besar pendapatan tetapi saya tidak dapat nyatakan jumlah yang tepat buat masa ini.

"Bagi kedai yang besar, kami menjangkakan ia menyumbang kira-kira satu pertiga daripada jumlah jualan kedai dan ia berbeza-beza dengan ketara," katanya.

Cruddas turut berkongsi bahawa kumpulan itu berhasrat untuk membuka sekurang-kurangnya 500 kafe di stesen Petronas seluruh negara dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang.

Beliau menambah pada masa ini, semua Cafe Mesra adalah milik dan dikendalikan syarikat, dan pasukan direkrut di bawah Mesra.

Bagaimanapun, pada masa hadapan, syarikat mungkin mempertimbangkan untuk francaiskan perniagaan kepada beberapa wakil peniaganya.

Menyentuh mengenai kerjasama Mesra dengan kafe francais lain seperti jenama Starbuck dan Tealive, beliau berkata kedua-duanya adalah rakan kongsi yang sangat penting bagi syarikat itu.

– BERNAMA

Related Article