Trending
Korporat

Infineon labur RM8 bilion di Kulim

KUALA LUMPUR: Penyedia penyelesaian semikonduktor, Infineon akan melabur lebih RM8 bilion untuk membina modul fabrikasi wafer di Kulim, menambah kapasiti pengeluaran yang ketara dalam semikonduktor kuasa.

Pembinaan itu dijangka siap menjelang suku ketiga 2024.

Ketua Pegawai Operasi Infineon Technologies AG, Dr Rutger Wijburg, berkata Malaysia adalah hab penting bagi Infineon disebabkan skala ekonomi sedia ada dalam pembuatan fabrikasi wafer bahagian hadapan di Kulim dan pembuatan cip bahagian belakang di Melaka.

"Apabila dilengkapi sepenuhnya, produk daripada modul baharu itu akan menjana hasil tahunan tambahan 2 bilion euro.

"Berikutan usaha penyahkarbonan mendapat momentum di peringkat global, permintaan daripada kenderaan elektrik, infrastruktur pengecasan dan penyimpanan dan tenaga boleh diperbaharui bagi semikonduktor kuasa jurang jalur lebar semakin meningkat dan kami bersedia untuk menyokong permintaan itu," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Pelaburan) Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Lim Bee Vian berkata Malaysia bertuah kerana mempunyai rakan kongsi industri jangka panjang dan komited, termasuk Infineon, yang memainkan peranan penting dalam membawa pertumbuhan kepada industri semikonduktor Malaysia.

"Ketika kami bergembira dengan pengumuman kemudahan ketiga hari ini untuk meningkatkan fabrikasi wafer bagi semikonduktor jurang jalur lebar, saya gembira untuk memaklumkan bahawa modul ketiga Infineon Kulim akan memainkan peranan penting dalam meningkatkan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan semikonduktor global.

"Matlamat kolektif kami adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai salah satu rakan kongsi utama dalam rantaian bekalan semikonduktor global," katanya.

Lim menyatakan bahawa mempunyai rakan kongsi global yang berfikiran sama seperti Infineon akan mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai global dan matlamatnya untuk menjadi pangkalan pembuatan termaju di rantau ini, dipacu oleh inovasi.

"Kami komited untuk menyokong peneraju industri seperti Infineon dan kami menghargai kepercayaan serta komitmen yang telah anda tunjukkan sepanjang kehadiran anda di Malaysia," tambahnya.

Industri elektrik dan elektronik (E&E) menyumbang dengan ketara kepada pertumbuhan KDNK Malaysia, pendapatan eksport, pelaburan dan pekerjaan, serta memainkan peranan penting dalam pembangunan perindustrian negara.

Pada suku pertama 2022 sahaja, Malaysia menarik RM18.6 bilion (US$4.4 bilion) dalam pelaburan yang diluluskan untuk industri E&E, antara industri berprestasi terbaik dalam tempoh Januari hingga Mac 2022 bagi sektor pembuatan.

-- BERNAMA

Related Article