Trending
Korporat

EXIM Bank tingkat usaha bantu syarikat hadapi cabaran 2023

KUALA LUMPUR: Export-Import Bank of Malaysia Bhd (EXIM Bank) akan mempertingkat usaha dalam menyalurkan bantuan bagi membolehkan syarikat bangkit serta mengharungi cabaran ekonomi tahun depan yang dijangka perlahan.

Sehubungan itu, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Arshad Ismail, berkata bank berkenaan dalam proses memuktamadkan pelan strategi perniagaan 2023 yang turut mengambil kira prospek ekonomi lebih suram dengan menumpukan sektor-sektor yang berpotensi terjejas.

"Prospek ekonomi pada 2023 kekal mencabar dan institusi kewangan pembangunan perlu memainkan peranan menangani kitaran terbabit. Inilah aspek yang akan kita beri perhatian," katanya kepada Bernama.

Walaupun berdepan prospek mencabar, Arshad sebaliknya yakin bahawa masih ada segelintir syarikat tempatan yang sebaliknya berkembang dalam tempoh sukar, bergantung kepada industri yang diceburi.

Malah, ketika kemuncak COVID-19, terdapat segelintir syarikat yang dapat terus bertahan dan mengekalkan aliran tunai masing-masing, kata beliau.

"Banyak daripada pelanggan kami yang dapat keluar daripada kesukaran ketika pandemik.

"Kami juga (pada awalnya) menjangkakan 2021 sebagai tahun pemulihan tetapi sebaliknya yang berlaku. Apa yang penting adalah untuk terus bersama-sama dengan pelanggan dalam mengharungi cabaran," katanya.

Beliau berkata, pandemik turut membuktikan kepada dunia mengenai kelemahan rantaian bekalan serta kepentingan untuk mampu berdikari.

"Sudah pasti, bukannya 100 peratus berdikari, tetapi perlu ada tumpuan terhadap komponen khusus dalam rantaian bekalan untuk mampu berusaha menjadi lebih berdikari.

"Inilah pendapat kami secara amnya mengenai cara menangani rantaian bekalan yang agak lemah, walaupun terpaksa mempelajarinya dengan cara sukar ketika pandemik," katanya.

Bagi memperkukuh rantaian bekalan negara, Arshad turut mengumumkan bahawa EXIM Bank akan memperkenalkan satu program pembiayaan bagi menyokong vendor dalam rantaian bekalan terbabit.

"Kami mahu meningkatkan lagi kapasiti vendor dalam rantaian bekalan khusus. Sebagai contoh, terdapat banyak vendor yang membekalkan produk serta dan perkhidmatan kepada syarikat minyak dan gas negara, PETRONAS.

"Tujuannya adalah untuk menyokong vendor-vendor ini supaya kewangan mereka semakin mengukuh dan mampu beroperasi secara sendirian tanpa perlu bergantung kepada PETRONAS," katanya.

Arshad berkata, bantuan EXIM Bank itu juga bukan hanya dari segi pembiayaan, tetapi turut membabitkan aspek bagi membolehkan mereka mampu menjadi syarikat yang bersedia melakukan eksport dengan lebih awal.

-BERNAMA