KUALA LUMPUR: TT Vision Holdings Bhd (TTVHB) yang bakal disenaraikan dalam Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd menyasarkan untuk mengumpul RM28.7 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO)
Ketua Pegawai Eksekutif TTVHB, Goon Koon Yin, berkata IPO itu akan dilaksanakan melalui terbitan awam 84.5 juta saham baharu TTVHB pada 34 sen sesaham.
Beliau berkata, 37.2 peratus daripada hasil akan digunakan untuk modal kerja, 27.8 peratus adalah untuk perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan (R&D), 20.9 peratus untuk pembayaran balik pinjaman bank, tiga peratus bagi aktiviti pemasaran dan baki 11.1 peratus untuk membiayai perbelanjaan berkaitan penyenaraian.
"Sebanyak RM3.6 juta akan dikumpul melalui tawaran jualan yang membabitkan 10.5 juta saham TTVHB sedia ada oleh penawar tertentu.
"Berdasarkan modal saham yang diperbesarkan sebanyak 468.00 juta saham dan harga IPO sebanyak RM0.34 sesaham, permodalan pasaran TTVHB mencapai RM159.12 juta," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
TTVHB adalah syarikat yang terbabit dalam pembangunan dan pembuatan peralatan penglihatan mesin serta penyediaan produk dan perkhidmatan berkaitan.
Mengulas lanjut, Koon Yin berkata, TTVHB bermula pada 2001 sebagai sebuah syarikat biasa yang terletak di Sungai Ara, Pulau Pinang di mana modul perniagaan ketika itu adalah berkaitan semikonduktor.
Beliau berkata, sejak dari itu kumpulan bergerak ke hadapan dan telah membangunkan pangkalan pelanggan yang merangkumi peneraju pasaran dalam pelbagai industri.
Katanya, bagi mengekalkan momentum pertumbuhan, kumpulan akan terus berinovasi dan membangunkan peralatan baharu untuk memenuhi keperluan pelanggan dengan memanfaatkan kepakaran teras dalam R&D dan rekod prestasi yang terbukti.
"Kami berhasrat untuk mengukuhkan keupayaan R&D dengan mengembangkan bahagian R&D dengan bakat yang relevan dari industri dan mendapatkan bahan, alat ganti serta peralatan dan perisian untuk pembangunan prototaip bagi memastikan TTVHB akan sentiasa berada di hadapan dan sentiasa mengikuti perkembangan teknologi dan perkembangan terkini," katanya.