Trending
Korporat

Syarikat rugi besar, saham Pharmaniaga jatuh mendadak

KUALA LUMPUR: Saham Pharmaniaga Bhd jatuh 43 peratus selepas peruntukan RM552 juta untuk 'stok vaksin COVID-19 yang bergerak perlahan' mendorong syarikat itu berada di bawah kategori PN17, atau bermasalah kewangan.

Pada 10 pagi, kaunter itu susut 19 sen kepada 25 sen berbanding harga penutup 44 sen pada Isnin, dengan 26.74 juta saham bertukar tangan.

Ia dibuka pada 22 sen, penurunan sebanyak 50 peratus.

Semalam, Pharmaniaga melaporkan kerugian bersih sebanyak RM607.32 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 berbanding keuntungan bersih RM172.15 juta pada tahun sebelumnya.

Perolehan merosot 27.1 peratus kepada RM3.51 bilion daripada RM4.82 bilion berikutan terdapat permintaan yang lebih rendah daripada kerajaan untuk pembelian vaksin COVID-19.

Mempertimbangkan keputusan tahun kewangan 2022 di bawah jangkaan, MIDF Research berkata ia menyemak semula turun anggaran perolehan untuk Pharmaniaga bagi tahun kewangan 2023 dan 2024 masing-masing sebanyak 79 dan 87 peratus.

Dalam masa sama, ia turut menurunkan harga sasaran saham Pharmaniaga kepada 48 sen daripada 77 sen sebelumnya.

"Secara keseluruhan, kami menurunkan saranan daripada 'beli' kepada 'neutral'.

"Bagaimanapun, kami mengekalkan pandangan positif terhadap kumpulan dengan asas portfolio produk-produk farmaseutikal syarikat itu yang besar sejajar dengan peningkatan permintaan, penembusan pasaran halal, dan rancangan pemasaran jangka panjang bagi penjualan antarabangsa," katanya dalam satu nota.

Sementara itu, Hong Leong Investment Bank menurunkan unjuran perolehan tahun kewangan 2023 dan 2024 sebanyak 51 peratus kerana ia menaikkan perbelanjaan operasi dan anggaran kos kewangan Pharmaniaga sambil menurunkan penarafan kaunter itu kepada 'jual'.

Bagaimanapun ia berkata terdapat potensi pembalikan peruntukan susut nilai seandainya Pharmaniaga dapat menjual lebih banyak stok COVID-19 sedia ada.

Buat masa ini, Pharmaniaga sedang berunding dengan beberapa pihak, termasuk Bank Pembangunan Islam dan Kementerian Kesihatan, untuk menjual stok berkenaan.

-BERNAMA