Trending
Korporat

Lyndung tawar perlindungan perubatan serendah RM10 sebulan

KUALA LUMPUR: Dengan hanya RM10 setiap bulan, orang ramai kini boleh menikmati manfaat perlindungan perubatan dan rawatan di hospital menerusi sistem perkongsian komuniti yang ditawarkan oleh Lyndung Sdn Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif Lyndung, Shamsuddin Salleh, berkata menerusi kaedah perkongsian itu, bil perubatan akan dibahagi sama rata bersama ahli komuniti seandainya ada ahli yang sakit dan memerlukan rawatan di hospital.

Katanya, mengambil contoh dengan jumlah ahli seramai 2,000 orang, jika ada ahli dimasukkan ke hospital dan jumlah bil perubatan yang dikenakan adalah sebanyak RM30,000, maka jumlah bil itu akan dibahagikan sesama ahli.

"Ini bermakna, setiap ahli perlu membayar RM15 seorang sahaja dan jumlah bayaran ini akan dihadkan sehingga RM50 sahaja. Jika jumlah bayaran adalah lebih, ia akan dibawa ke bulan depan pula.

"Selain itu, ahli hanya dikenakan bayaran yuran RM10 setiap bulan atau RM120 setahun yang mana ini adalah untuk tujuan kos pentadbiran dan tiada kos tambahan lain dikenakan kepada ahli.

"Kami baru sahaja lancarkan produk ini 28 Februari lalu dan setakat ini, seramai 374 orang sudah mendaftar minat. Kami menyasarkan untuk mempunyai 10,000 ahli dalam tempoh dua tahun ini," katanya kepada BH.

Mengulas lanjut ,Shamsuddin berkata, produk patuh Syariah itu terbuka kepada rakyat Malaysia yang sihat tanpa penyakit sedia ada berusia dari 18 hingga 40 tahun dengan pendaftaran dibuat secara dalam talian menerusi e-Kyc.

Katanya, produk itu juga tidak membabitkan ejen yang membolehkannya untuk menawarkan yuran yang rendah dan mampu milik untuk ahli.

"Sewaktu pendaftaran, selain perlu membayar yuran keahlian, ahli juga perlu membayar pendahuluan RM100 yang akan dijaga oleh syarikat amanah. Dana inilah yang akan ditolak setiap kali ada ahli menerima rawatan hospital.

"Dana ini juga akan ditambah secara automatik kepada RM100 semula apabila hadnya sudah kurang daripada RM50," katanya.

Beliau menambah, pada 60 hari pertama, ahli hanya layak untuk menerima sebanyak RM20,000 perkongsian bil perubatan kemalangan.

"Namun, kadar ini akan meningkat sehingga RM1 juta perkongsian bil perubatan termasuk kemalangan selepas enam bulan.

"Ini menjadikan kami sebagai syarikat yang menawarkan perlindungan perubatan paling rendah harga dan mampu milik untuk rakyat Malaysia dan sememangnya disasarkan kepada golongan B40 dan M40 yang masih belum mempunyai sebarang perlindungan perubatan," katanya.

Shamsuddin berkata, Lyndung bukan syarikat takaful atau insurans dan tidak tertakluk di bawah akta Bank Negara Malaysia (BNM).

"Kami telah mengadakan perjumpaan dengan BNM tahun lalu untuk berbincang mengenai produk kami dan pihak BNM memaklumkan bahawa model Lyndung tidak tertakluk di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA) atau Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA).

"Tiada halangan untuk Lyndung beroperasi selagi menyatakan dengan jelas bahawa Lyndung tidak menyediakan produk insurans dan takaful. Kewujudan Lyndung ini bukanlah untuk menggugat syarikat insurans dan takaful, sebaliknya ingin melengkapi ekosistem dengan menawarkan perlindungan sosial kepada golongan yang tidak mampu.

"Dari segi manfaat, produk Lyndung adalah hampir sama dengan kad perubatan yang ditawarkan syarikat insurans atau yang ditawarkan oleh majikan untuk pekerja," katanya.