Trending
Korporat

Unit KAB bentuk pakatan laksana projek lestari serantau

KUALA LUMPUR: Kejuruteraan Asastera Bhd (KAB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, KAB Energy Holdings Sdn Bhd (KABEH) memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan PT CNEC Engineering Indonesia (PT CNEC) dan Transcend Global Limited (TGL) bagi mewujudkan usaha sama untuk projek penyelesaian tenaga mampan (SES) yang berpotensi (projek cadangan) di peringkat serantau.

PT CNEC adalah anak syarikat CNNC Group yang memiliki kepakaran luas dalam membina loji tenaga nuklear, terminal gas asli cecair (LNG), kemudahan tangki bahan api, operasi perlombongan dan loji penjanaan kuasa alternatif.

TGL pula adalah sebuah syarikat pemegangan pelaburan yang dikaitkan dengan Dana Hijau Serantau, mengkhusus dalam pegangan pelaburan, perdagangan produk tenaga, memajak peralatan dan jentera berat, aktiviti penggabungan dan pemerolehan serta pelaburan dalam industri pertumbuhan tinggi.

Bersama-sama, KABEH dan PT CNEC akan bekerjasama untuk mengenal pasti dan membangunkan pelbagai projek cadangan manakala TGL akan membantu dalam menjalankan kajian kemungkinan kewangan untuk projek yang disenarai pendek dan memudahkan penggabungan dan pemerolehan (M&A) projek Syarikat Tujuan Khas (SPV).

Pengarah Urusan Kumpulan KAB, Datuk Lai Keng Onn, berkata di bawah MoU itu, semua pihak akan memanfaatkan gabungan kepakarannya untuk menyediakan perniagaan serantau dengan penyelesaian kejuruteraan untuk tenaga yang mampan, hijau dan bersih.

Katanya, dengan peranan penting dalam memacu kejayaan MoU, KAB akan mencadangkan projek untuk semakan bersama dengan PT CNEC bagi menilai kebolehlaksanaannya.

"Projek cadangan terangkum di seluruh Asia termasuk sistem suria 100MW di Thailand, pembangunan ladang angin, penyahgaraman dan loji rawatan air di Filipina, pembangunan loji kuasa tawanan di Malaysia; dan inisiatif seperti loji penyinaran, pemajakan jentera dan peralatan, mini -Terminal LNG, dan perdagangan bahan dan peralatan di Indonesia.

"Senarai projek cadangan yang luas ini menunjukkan komitmen kami dalam meneroka peluang projek tenaga mampan yang lebih besar dan lebih bercita-cita tinggi yang akan memacu lagi pertumbuhan segmen SES kami.

"Langkah ini adalah selaras dengan keseluruhan strategi perniagaan kami dalam mengembangkan rangkaian penyelesaian kami untuk segmen SES bagi memenuhi keperluan pelanggan kami yang semakin meningkat," katanya dalam satu kenyataan.