Trending
Korporat

MYTV sasar tujuh juta tontonan menjelang akhir 2023

SHAH ALAM: MYTV Broadcasting Sdn Bhd (MYTV) menyasarkan kira-kira tujuh juta tontonan menerusi platform berkenaan di seluruh negara menjelang hujung tahun ini.

Ketua Pegawai Operasi MYTV, Azlina Mohd Yusof, berkata setakat hari ini, tontonan platform itu mencecah 6.35 juta penonton dan pelbagai inisiatif giat dilaksanakan untuk rakyat Malaysia mendapat perkhidmatan siaran televisyen serta radio percuma.

Azlina berkata, untuk itu, pihaknya menyasarkan untuk mengedarkan kira-kira 80,000 dekoder percuma ke 168 lokasi program perumahan rakyat termiskin (PPRT) di seluruh negara dengan setakat ini 10 lokasi telah dilaksanakan.

Selain itu, Azlina berkata MYTV secara rasmi melancarkan kempen "WHY PAY?" untuk mempromosikan perkhidmatan siaran televisyen dan radio percuma dengan negeri Perak akan menjadi lokasi seterusnya bagi mempromosikan program itu.

"Selepas ke Perak, kami akan ke negeri di kawasan utara seterusnya ke Negeri Sembilan. Untuk negeri di Pantai Timur Semenanjung dan Sabah Sarawak kita akan laksanakan kempen itu tahun hadapan," katanya selepas pelancaran kempen WHY PAY?, sebahagian acara MYFESTIVA oleh Penasihat Khas Yayasan Al-Bukhary, Datuk Seri Abdul Aziz Shahar di pusat beli-belah Aeon Shah Alam.

Azlina berkata, kempen WHY PAY? merupakan inisiatif MYTV untuk menyediakan akses kepada 17 siaran TV dan 14 siaran radio tempatan percuma kepada rakyat Malaysia di samping memberikan pengalaman yang terbaik buat penonton untuk menikmati pelbagai kandungan tanpa sebarang caj bulanan atau komitmen kontrak.

"Di MYTV, misi kami adalah untuk memberi rakyat Malaysia akses dan ketersambungan kepada siaran televisyen tempatan dan radio tempatan 'free-to-air' di rumah tanpa bebanan bil dan komitmen bulanan.

"Selain itu, pengguna boleh menonton siaran TV dan radio percuma menerusi platform penstriman 'MYTV Mana-Mana' selain memilih untuk menonton pelbagai seleksi filem serta kandungan menarik daripada penyiar tempatan dan antarabangsa. Mengapa perlu bayar jika boleh mendapatkan semua ini secara percuma hanya melalui MYTV?", katanya.

Dalam pada itu, Azlina berkata acara MYFESTIVA yang diadakan di pusat beli-belah berkenaan selama dua hari menawarkan peluang unik kepada pengunjung yang hadir untuk menyelami 'Dunia MYTV' antaranya slot mempamerkan pencipta kandungan tempatan kepada khalayak ramai.

"Selain itu, MYTV turut mengedarkan dekoder percuma kepada pengunjung sepanjang tempoh acara berkenaan," katanya.

-BERNAMA