GEORGE TOWN: Pensonic Holdings Bhd, jenama peralatan rumah elektrik tempatan terkemuka hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Universiti Sains Malaysia (USM) dan Usains Holding Sdn Bhd (USains) untuk menjalin kerjasama dalam pembangunan tenaga kerja dan pengoptimuman kemahiran.
Majlis itu turut dihadiri Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak yang menyaksikan pertukaran MoU terbabit.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pensonic, Dixon Chew, berkata kerjasama strategik dengan USM dan USains itu menunjukkan komitmen syarikat untuk memupuk pemimpin industri dan inovasi pada masa depan.
"Malaysia sedang beralih ke arah ekonomi berorientasikan perkhidmatan dan digital dengan sebahagian besar daripada perniagaan kini menggunakan platform digital.
"Situasi ini telah membawa kepada peningkatan dalam perdagangan digital, pembayaran dan perkhidmatan awam yang memerlukan kemahiran digital, justeru, penyediaan dan peningkatan kemahiran pekerja untuk ekonomi digital ini akan menjadi faktor penentu untuk berkembang maju dalam ekonomi ini," katanya dalam satu kenyataan.
Chew berkata, menurut data yang dikeluarkan Statista, platform mengumpul data dalam talian global, bilangan pengguna dalam pasaran e-dagang di Malaysia antara 2024 dan 2029 diunjur mencecah 8.1 juta pengguna, iaitu peningkatan sebanyak 75.91 peratus dengan jumlah itu dijangka mencecah 18.81 juta pengguna pada 10 tahun akan datang.
Sehubungan itu, katanya, untuk kekal berdaya saing dalam pasaran global pihaknya perlu memastikan tenaga kerja mereka dilengkapi dengan kemahiran yang bersesuaian selari keperluan pekerjaan yang semakin berkembang.
Beliau berkata, sejak November 2023 di bawah kepimpinan baharu Pensonic telah memanfaatkan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Turkiye-Malaysia, memberi tumpuan kepada perniagaan OEM/ODM dengan mengeksport pelbagai jenis peralatan rumah elektrik ke negara terbabit.
Menurutnya, inisiatif jualan di Turkiye itu telah memperlihatkan pertumbuhan yang luar biasa, dengan peningkatan eksport lebih daripada lima kali ganda, manakala jualan eksport keseluruhan melonjak tiga kali ganda pada Tahun Kewangan 2023/2024.
"Kami gembira untuk memulakan inisiatif strategik yang menekankan komitmen Pensonic terhadap inovasi, perkembangan pasaran dan perkongsian kolaboratif.
"Usaha ini sekali gus turut mencerminkan dedikasi kami untuk menyediakan produk dan penyelesaian berkualiti yang memenuhi keperluan pengguna di seluruh dunia," katanya.
Sementara itu, Chew berkata Pensonic hari ini memperkenalkan inovasi terbaharu iaitu penyejuk udara pelbagai fungsi sesuai dengan gaya hidup di Asia Tenggara yang berkembang pesat.
"Penyejuk Udara ini dilengkapi dengan pelbagai ciri seperti bekalan udara, penyejukan, pelembapan, pensterilan cahaya biru UV dan teknologi penulenan ion negatif.
"Selepas pelancaran hari ini, Pensonic secara beransur-ansur akan memperkembangkan platform dalam talian di Malaysia, Singapura dan Indonesia, dan kemudian ke negara lain di Asia Tenggara," katanya.
Pada majlis berkenaan, syarikat itu turut menyampaikan cek kepada Yayasan Amal Tuan Yang Terutama (TYT) bagi membantu masyarakat yang kurang bernasib baik di Pulau Pinang selaras komitmennya terhadap kelestarian alam sekitar dan kebajikan masyarakat.
-BERNAMA