KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh Haily Group Bhd, Haily Construction Sdn Bhd memperoleh kontrak kerja RM89.9 juta daripada Venice View Development Sdn Bhd untuk membina rumah di Johor Bharu, Johor.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, ia berkata projek itu terdiri daripada Parcel 2A yang membabitkan 252 unit rumah teres dua tingkat, sebuah kebuk dua pencawang Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan sebuah pencawang kompak TNB, manakala Parcel 2B terdiri daripada 114 unit rumah teres dua tingkat, dua unit pameran, rumah pengawal dan pintu masuk.
"Rumah di Parcel A dan B dijangka siap dalam tempoh 15 bulan dari tarikh permulaan setiap petak.
"Pencawang TNB (kebuk berkembar) dan satu unit pencawang kompak TNB di Parcel 2A dijangka siap dalam tempoh enam bulan manakala unit pameran, rumah pengawal dan pintu masuk dalam tempoh empat bulan dari tarikh permulaan," katanya.
-BERNAMA