KUALA LUMPUR: Haily Group Bhd menerima surat anugerah daripada Meridin East Sdn Bhd bagi pembinaan dan penyiapan 168 unit rumah teres dua tingkat di Johor Bahru, bernilai RM38.2 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Haily berkata projek itu akan mengambil masa sehingga 15 bulan dari tarikh permulaan.
"Surat anugerah itu tidak akan mempunyai sebarang kesan ke atas modal saham terbitan dan pegangan saham pemegang saham yang besar dalam syarikat kerana tiada terbitan saham biasa baharu dalam syarikat," katanya.
Haily berkata, kontrak itu akan menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan sepanjang tempoh projek, dengan mengandaikan tiada kelewatan material dalam masa.
"Tiada risiko ketara yang boleh diramalkan selain daripada risiko operasi biasa yang dikaitkan dengan surat anugerah, yang berada dalam urusan perniagaan biasa kumpulan Haily.
"Lembaga pengarah setelah mempertimbangkan rasional, prospek dan semua aspek lain dalam surat anugerah itu, berpendapat bahawa penerimaan anugerah adalah demi kepentingan terbaik syarikat," katanya.
Pengasas dan Pengarah Eksekutif Haily, See Tin Hai, berkata kemenangan kontrak ini mengukuhkan kepakaran kumpulan dalam pembinaan kediaman dan komitmen untuk memenuhi keperluan kedua-dua pemaju dan pembeli rumah.
"Kami gembira dapat bekerjasama dengan Meridin East sekali lagi untuk menyiapkan kediaman berkualiti di Johor Bahru," katanya dalam satu kenyataan berasingan.
Projek yang terletak di Parcel 1B, Taman Bestari Perdana itu akan dibangunkan dalam tiga fasa iaitu Fasa 1B1 (59 unit), Fasa 1B2 (61 unit), dan Fasa 1B3 (48 unit).
Kontrak itu juga termasuk pembinaan pencawang Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan dua unit rumah pameran.