Trending
Lain-lain (Bisnes)

MATRADE anjur MIHAS pada September 2021

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan menganjurkan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) ke-17 pada 9 hingga 12 September 2021 bertempat di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Wan Latiff Wan Musa, berkata pameran kali ini akan memberi penekanan khusus kepada agenda untuk membantu pemain tempatan dan antarabangsa melihat kepada inovasi serta inisiatif mampan bagi menerajui pertumbuhan ekonomi halal yang stabil.

'

"Memandangkan Malaysia sendiri adalah peneraju halal global, kami melihat adanya peluang yang didorong oleh pendigitalan yang dipercepatkanm termasuk perubahan tingkah laku pengguna dalam norma baharu dan ekonomi dunia baharu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bertemakan 'Memperkasakan Halal, Esok, Bersama', MIHAS ke-17 akan berfungsi sebagai peluang bagi industri halal untuk memperkasakan diri dalam mempercepatkan pertumbuhan masa depan melalui perkongsian dan kerjasama.

Menurut Wan Latiff, pandemik global COVID-19 telah mengubah minda dan cara menjalankan perniagaan yang memerlukan model perniagaan baharu.

MIHAS akan bertindak sebagai platform yang memayungi perniagaan halal untuk membudayakan daya tahan, kreativiti serta penyesuaian bagi meraih kejayaan dalam landskap perniagaan 'normal baharu', tambahnya.

Selain itu, MIHAS menyasarkan untuk mengembangkan lagi agenda ekonomi halal Malaysia, mengemudi negara ke arah era Industri 4.0 dan mengukuhkan peranannya sebagai hab halal global, katanya.

Sementara itu, MATRADE mengumumkan pelantikan Qube Integrated Malaysia Sdn Bhd sebagai penganjur acara rasmi MIHAS bagi tempoh lima tahun mulai 2021 sehingga 2025.

Dianjurkan oleh MATRADE di bawah naungan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia, MIHAS adalah acara perdagangan halal terbesar seumpamanya di dunia.

-BERNAMA

Related Article