Trending
Lain-lain (Bisnes)

Pengecualian cukai jualan kereta, HOC mungkin dilanjut

KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka melanjutkan pengecualian cukai jualan kenderaan dan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) sehingga tahun depan dalam Bajet 2022 yang akan diumumkan 29 Oktober ini.

Ketua Ahli Ekonomi Kumpulan dan Ketua Penyelidik Pasaran RHB Investment Bank Bhd, Dr Sailesh K Jha, berkata pengumuman utama secara sektoral itu bersama langkah lain dijangka memacu sektor automotif dan hartanah sepanjang tahun depan.

"Bajet 2022 dijangka melanjutkan pengecualian cukai jualan kenderaan memandangkan jualan mengecewakan pada tahun ini walaupun terdapat pengecualian cukai terbabit berikutan beberapa sekatan pergerakan serta penutupan bilik pameran dan kilang pengeluaran.

"Begitu juga dengan HOC, di mana lebihan hartanah untuk komponen bertingkat masih menjadi masalah dan kami percaya ia memerlukan pendekatan berterusan jangka panjang.

"Inisiatif untuk pemilikan hartanah oleh kumpulan B40 dan golongan muda berkemungkinan diteruskan untuk mempromosikan pemilikan kediaman bagi kumpulan berpendapatan rendah," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Pengecualian 100 peratus cukai jualan bagi kenderaan penumpang pemasangan tempatan (CKD) dan 50 peratus kenderaan import sepenuhnya (CBU), serta HOC akan berakhir 31 Disember ini.

Sementara itu, Ketua Penyelidik TA Securities Holdings Bhd, Kaladher Govindan berkata, sektor hartanah dijangka menerima lanjutan daripada langkah pertumbuhan yang diumumkan sebelum ini seperti pengecualian cukai keuntungan harta tanah (RPGT), HOC dan sewa untuk dimiliki (RTO).

"Sektor automotif juga mungkin mendapat lanjutan pengecualian cukai jualan selama enam bulan lagi dalam Bajet 2022, selain sektor ini akan mendapat manfaat daripada insentif untuk mempromosikan pembangunan ekosistem kenderaan elektrik (EV) serta insentif langsung kepada pengguna," katanya.

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dalam kenyataan terkini mengumumkan industri automotif tempatan menjual 318,874 unit kenderaan setakat September lalu, lebih rendah berbanding 344,019 unit yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu.

Dalam pada itu, Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Pertama 2021 Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan transaksi perumahan lebih perlahan pada separuh pertama tahun ini berbanding separuh kedua 2020.