Trending
Lain-lain (Bisnes)

Platform dalam talian MATTA Online diperkenal

KUALA LUMPUR: Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) melancarkan MATTA Online, aplikasi pasaran pelancongan dalam talian.

MATTA Online juga platform ahli persatuan terdiri daripada ejen pelancongan dan pengendali pelancongan babitkan hotel, syarikat penerbangan, pusat tarikan, taman tema dan penyedia pelancongan lain.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata platform berkenaan membolehkan ahli MATTA memasarkan terus produk mereka kepada pengguna selaras dengan peningkatan permintaan rakyat untuk perjalanan domestik dan luar negara.

"Platform ini akan memenuhi keperluan terbaik pengembara, baik rakyat Malaysia mahupun warga asing terutama ahli MATT manfaat jelas menerusi dalam talian. Ia juga akan meletakkan kawalan industri pelancongan Malaysia kembali ke tangan rakyat Malaysia.

"Usaha perintis MATTA membabitkan platform dalam talian ini adalah untuk menyokong ejen pelancongan kecil dan sederhana dari segi pemasaran dan kontrak dengan pengguna.

"Selaras dengan inisiatif kerajaan dalam ekonomi digital, ia bersedia untuk menambah baik peluang perniagaan, meningkatkan penghunian, meningkatkan penjanaan hasil dan meningkatkan keuntungan perdagangan perjalanan," katanya ketika berucap merasmikan MATTA Online di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang; dan Ketua Pegawai Eksekutif Fusionex Group, Datuk Seri Ivan Teh.

Sementara itu, Kok Liang berkata MATTA Online menyediakan alternatif kepada pengguna untuk membuat transaksi menerusi platform berlesen, sekali gus untuk melupuskan penipuan, penipuan internet dan ejen pelancongan tidak berlesen.

Katanya, dengan MATTA Online, ahlinya dapat menjangkaui sehingga 16.29 juta rakyat Malaysia dan khalayak pengguna global.

"Platform ini menandakan kerjasama kami dengan rakan kongsi teknologi MATTA, Fusionex, syarikat teknologi data terbesar rantau ini serta peneraju pasaran teknologi data yang memenangi pelbagai anugerah yang terkenal dengan pengkhususan dalam analitik, data raya, pembelajaran mesin dan kecerdasan buatan (AI)," katanya.

Platform terbabit dikhususkan secara unik untuk memberi perkhidmatan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta melindungi pengguna dengan menyediakan persekitaran yang selamat, terkawal dan dipercayai untuk membeli-belah pakej pelancongan.