Trending
Lain-lain (Bisnes)

Jumlah penganggur semakin berkurangan

PUTRAJAYA: Jumlah penganggur di Malaysia terus mencatatkan penurunan kepada 637,700 orang pada Mei lalu berbanding 649,300 orang bulan sebelumnya, menjadikan kadar pengangguran terkini negara berada pada 3.9 peratus, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata pemulihan pasaran buruh pada Mei 2022 terus stabil seiring dengan pengoperasian penuh kesemua aktiviti ekonomi.

Beliau menjelaskan bahawa aktiviti ekonomi yang menggalakkan pada bulan berkenaan mendorong kepada lebih banyak permintaan terhadap barang dan perkhidmatan, justeru memberi lebih banyak peluang kepada perniagaan bagi menjana semula pendapatan.

Katanya, pasaran buruh juga dilihat semakin berkembang susulan lebih banyak permintaan dan penawaran buruh berlaku dalam pasaran bagi menampung keperluan aktiviti ekonomi yang semakin meningkat.

"Justeru, kedudukan tenaga buruh pada bulan itu kekal kukuh dengan

mencatatkan peningkatan bulan ke bulan dalam bilangan tenaga buruh iaitu sebanyak 0.2 peratus kepada 16.54 juta orang.

"Oleh itu, kadar penyertaan tenaga buruh pada Mei 2022 meningkat sedikit kepada 69.5 peratus. Situasi ini didorong oleh pertumbuhan guna tenaga yang stabil manakala pengangguran terus menurun," katanya dalam satu kenyataan.

DOSM hari ini mengeluarkan siaran Statistik Tenaga Buruh, Malaysia, Mei 2022.

Statistik ini memperihalkan kedudukan penawaran buruh bulanan berdasarkan Survei Tenaga Buruh yang dilaksanakan oleh DOSM.

Sektor perkhidmatan terus merekodkan pertumbuhan positif dalam guna tenaga terutama dalam aktiviti perdagangan borong & runcit; maklumat & komunikasi dan perkhidmatan makanan & minuman.

Sektor pertanian, pembuatan dan pembinaan turut mengekalkan trend positif dalam bilangan penduduk bekerja kecuali bagi sektor perlombongan & pengkuarian yang masih kekal dalam trend menurun.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata daripada jumlah penganggur, 83.7 peratus adalah mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan atau penganggur aktif.

Katanya, kategori ini menurun sebanyak 1.6 peratus mencatatkan 534,000 orang berbanding 542,000 orang bulan sebelumnya.

"Mengikut tempoh menganggur bagi penganggur aktif, 58.6 peratus adalah mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan, manakala 6.9 peratus adalah mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun.

"Sementara itu, penganggur tidak aktif atau mereka yang percaya

tiada pekerjaan tersedia terus berkurang dengan penurunan sebanyak 2.5 peratus kepada 103,800 orang," katanya.

Beliau menambah, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun pada bulan berkenaan terus merekodkan penurunan, dengan pengurangan sebanyak 0.3 mata peratus kepada 12.5 peratus.

Sementara itu, katanya, bilangan penganggur belia menurun sebanyak 4.4 peratus kepada 341,000 orang.

"Begitu juga, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun berkurang sebanyak 0.3 mata peratus kepada 7.4 peratus, merekodkan bilangan penganggur belia yang lebih rendah seramai 475,700 orang," katanya.

Menuju ke hadapan, Mohd Uzir berkata krisis kenaikan harga barangan komoditi yang berlaku dalam pasaran, secara tidak langsung memberi kesan terhadap pembangunan ekonomi Malaysia.

Beliau berkata, kenaikan harga barang akan membawa kepada inflasi yang akan menjejaskan pemulihan ekonomi negara.

"Di samping itu, Dasar Sifar COVID yang dilaksanakan oleh China telah menyebabkan kekurangan dan kelewatan pembekalan bahan, lantas menjejaskan pasaran global, terutama dalam sektor pembuatan.

"Namun, pengoperasian kesemua sektor ekonomi dan aktiviti sosial dilihat sebagai faktor penyumbang kepada peningkatan permintaan tenaga buruh," katanya.

Related Article