Trending
Lain-lain (Bisnes)

71 juta penduduk dunia jatuh miskin akibat inflasi

AMERIKA SYARIKAT: Peningkatan harga makanan dan tenaga menyebabkan 71 juta penduduk di negara termiskin dunia terjerumus ke dalam kemiskinan, demikian menurut laporan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) yang diterbitkan hari ini.

Peningkatan kadar kemiskinan dalam ekonomi sedang membangun sejak tiga bulan lalu adalah lebih pantas secara drastik berbanding kejutan daripada pandemik COVID-19, kata UNDP dalam satu kenyataan akhbar, dengan menyatakan bahawa kenaikan harga sebahagiannya disebabkan oleh perang di Ukraine.

Bagi menangani isu yang semakin membimbangkan ini, UNDP berkata pemindahan tunai bersasar kepada isi rumah adalah lebih adil dan berkesan berbanding subsidi tenaga secara pukal.

Bagaimanapun, agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu menambah bahawa kerajaan memerlukan sokongan daripada sistem multilateral untuk menampung perbelanjaan.

UNDP turut memberi amaran dalam laporan itu bahawa ketika bank-bank pusat menaikkan kadar faedah bagi membendung inflasi, ada risiko mencetuskan kemiskinan berpunca daripada kemelesetan sehingga memburukkan lagi krisis itu, mempercepat dan memperdalamkan kemiskinan di seluruh dunia.

Laporan itu memeriksa 159 negara dan mendapati situasi itu paling kritikal di rantau Balkan, Laut Caspia dan sub-Sahara Afrika, terutama di Sahel.

"Kenaikan harga yang tidak pernah berlaku sebelum ini bermakna bagi kebanyakan penduduk seluruh dunia, makanan yang mampu dibeli semalam tidak lagi mampu didapati hari ini," kata pentadbir UNDP, Achim Steiner.

"Krisis kos sara hidup menjerumuskan jutaan penduduk ke dalam kemiskinan, malah kebuluran pada tahap yang amat pantas, oleh itu ancaman masalah sosial semakin meningkat dari hari ke hari," tegasnya.

Menurut laporan itu, antara negara yang berdepan kesan buruk kenaikan harga adalah Armenia, Uzbekistan, Burkina Faso, Ghana, Kenya, Rwanda, Sudan, Haiti, Pakistan, Sri Lanka, Ethiopia, Mali, Nigeria, Sierra Leone, Tanzania dan Yemen.

Related Article