Trending
Lain-lain (Bisnes)

Panasonic guna sisa sawit Malaysia untuk teknologi papan litar

KUALA LUMPUR: Panasonic Housing Solutions Co Ltd sedang mencari sumber batang dan sisa kelapa sawit dari Malaysia untuk teknologi papan kitar semula baharunya yang dikenali sebagai Panasonic PALM LOOP Board yang melibatkan pembentukan produk perabot.

Penolong ketua bahagian inovasi projek pembangunan perniagaan bahan baharu Mohd Erman Syazwan Che Fauzi berkata projek berkenaan masih dalam kajian kebolehlaksanaan dan Malaysia akan menjadi satu rakan kongsi berpotensi.

"Sasaran kami adalah untuk menyokong industri kelapa sawit dan menyumbang kepada alam sekitar. Ini bukan tanggungjawab sosial korporat (CSR) tetapi ia adalah pengurusan alam sekitar," katanya kepada pemberita selepas memperkenalkan teknologi itu di Pameran Perabot Antarabangsa Malaysia (MIFF) 2022 di sini hari ini.

Turut hadir ialah pegawai eksekutif urusan dan pengarah bahagian inovasi Shinji Adachi.

Mohd Erman Syazwan berkata tujuan projek itu adalah untuk mengurangkan gas metana dengan menutupi sisa kelapa sawit serta memanfaatkan sisa kelapa sawit menjadi produk kayu.

"Dengan cara ini kita boleh mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan kita juga menghalang penebangan hutan secara haram," tambahnya.

Teknologi itu, dengan kerjasama Perkongsian Penyelidikan Sains dan Teknologi bagi Pembangunan Mampan (SATREPS), mewujudkan industri yang mampan bagi penggunaan kayu kelapa sawit yang berkesan dengan mengubah kayu kepada bahan perantaraan di Malaysia dan kemudian dijadikan papan gentian berketumpatan sederhana (MDF) bagi perabot di kilang papan.

Panasonic PALM LOOP Board bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan mampan industri perabot dan kelapa sawit tetapi juga bertindak sebagai pencegahan kepada pemanasan global. – Bernama

Related Article