KUALA LUMPUR: Keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melantik dirinya sebagai Menteri Kewangan kerana mungkin memikirkan negara sedang melalui tempoh kritikal untuk menetapkan hala tuju ekonomi dan kewangan di saat pelbagai cabaran ekonomi dunia serta domestik yang sedang melanda.
Penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata dengan kelebihan rangkaian dimiliki Perdana Menteri terutama di luar negara yang perlu diguna pakai untuk memperbetulkan kewangan negara seperti menurunkan hutang negara yang kini melebihi RM1 trilion dan menarik pelabur asing supaya datang ke Malaysia.
"Kerajaan melalui dasar fiskal tidak boleh terus berbelanja dengan meningkatkan hutang untuk membangunkan ekonomi negara, ia perlu diimbangi dengan wang pelaburan terutama dari luar negara yang lebih banyak dari dahulu.
"Penasihat yang dilantik juga berupaya untuk membantu Kementerian Kewangan (MOF) bagi mencipta formula yang lebih mantap dan terkini untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI).
"Ini termasuk bersaing dengan negara jiran di ASEAN yang kini lebih berjaya dalam menarik FDI ke negara masing-masing," katanya mengulas mengenai pelantikan pembentukan kabinat baharu termasuk pelantikan Anwar sebagai Menteri Kewangan.
Perdana Menteri malam tadi mengumumkan senarai penuh 28 barisan Menteri baharu termasuk dua Timbalan Perdana Menteri. Menteri berkaitan portfolio ekonomi menyaksikan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dlantik sebagai Menteri Ekonomi manakala bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengetuai Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Mengulas lanjut Dr Aimi berkata, berdasarkan langkah pertama Anwar untuk menubuhkan dan mempengerusikan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara selesai mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri menunjukkan fokus beliau mencari jalan menangani kenaikan kos sara hidup yang menjadi agenda utamanya.
"Sudah semestinya dasar-dasar fiskal di dalam kawalannya secara langsung melalui MOF dan juga dasar monetari yang diamanahkan kpd Bank Negara Malaysia (BNM) turut melaporkan secara langsung kepadanya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan," katanya.
Sementara itu Koordinator Penyelidik, Institut Penyelidikan untuk Kemajuan Sosial (REFSA), Fakhrurrazi Rashid, berkata pelantikan Anwar sebagai Menteri Kewangan bukan satu masalah kerana beliau sendiri mempunyai rekod trek sebagai menteri berkenaan sebelum ini.
Cuma katanya, Perdana Menteri perlu pendekatan baharu dalam melihat persekitaran ekonomi negara abad ke-21, bukan pendekatan ala-ala 90-an yang agak kebelakang.
"Selain itu, kewujudan semula Menteri Ekonomi dapat mengimbangi peranan Kementerian Kewangan dan Perdana Menteri dalam menguruskan ekonomi negara.
"Kementerian Ekonomi memainkan peranan penting dalam menguruskan perbelanjaan pembangunan kerajaan bagi meningkatkan nilai ekonomi dan produktiviti negara manakala Kementerian Kewangan berfungsi menentukan aspek perbelanjaan pengurusan dan belanjawan kerajaan.
"Ini bermaksud, gabungan Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan Perdana Menteri akan menjadi faktor utama dalam menentukan hala tuju ekonomi negara yang berdaya saing bagi menempuhi cabaran ekonomi global dan tempatan yang masih berada dalam fasa pemulihan Covid-19," katanya.
Tambahnya, Menteri Ekonomi dapat memastikan adanya elemen semak dan imbang agar setiap perancangan dibuat Menteri Kewangan dapat diselaraskan dengan keperluan ekonomi semasa.
"cabaran utama Menteri Ekonomi dan Menteri Kewangan adalah merangka Belanjawan 2023 dalam waktu seluruh dunia dijangka mengalami kemelesetan ekonomi yang memberi kesan kepada kesejahteraan hidup rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah," katanya.