KUALA LUMPUR: Persatuan Pengilang Plastik Malaysia (MPMA) mula mempromosikan jualan produk plastik mereka ke pasaran baharu melalui Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).
Presidennya, Datuk Lim Kok Boon, berkata terdapat tiga pasaran baharu bagi sektor plastik iaitu Kanada, Mexico dan Peru yang tidak mempunyai sebarang perjanjian perdagangan bebas dengan Malaysia sebelum ini.
"Kanada ialah destinasi eksport pertama yang dilihat oleh ahli kami kerana duti import produk plastik telah dihapuskan sejak 1 Januari 2023 daripada maksimum 6.5 peratus," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Kok Boon, berdasarkan kajian analisis kos dan faedah (CBA) yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), ketiga-tiga negara ini adalah pengimport bersih produk plastik.
"Pada masa ini, pasaran eksport utama produk plastik buatan Malaysia ialah di Kesatuan Eropah (EU), ASEAN dan Jepun. Pelaksanaan CPTPP akan meluaskan peluang pasaran eksport bagi industri pembuatan plastik di Malaysia.
"Pengilang plastik Malaysia telah bertapak kukuh dalam pasaran eksport dengan kualiti produk unggul dan kebolehpercayaan bekalan mereka," katanya.
Beliau menambah, Malaysia mengekalkan kedudukannya sebagai pengeluar plastik filem regangan terbesar di Asia selama beberapa tahun.
"Filem regangan adalah bahan pembungkusan yang digunakan secara meluas di seluruh dunia. Dengan latar belakang ini, kami percaya produk kami akan mendapat populariti dalam pasaran CPTPP.
"Selain itu, memandangkan banyak pihak menjangkakan berlaku kelembapan dalam kebanyakan ekonomi maju tahun depan, pembukaan pasaran baharu akan meluaskan peluang pasaran untuk menampung sebahagian daripada kesan kelemahan permintaan daripada negara eksport tradisional," katanya
Kok Boon berkata, pelaksanaan CPTPP juga akan menarik pelaburan langsung asing (FDI) kepada pelabur untuk menubuhkan pangkalan pembuatan mereka di negara ini memandangkan peluang pasaran yang lebih luas untuk produk mereka.
"Ini akan memberi petanda baik kepada sektor pembuatan, yang seterusnya akan memberi manfaat kepada negara," katanya.