KUALA LUMPUR: Produktiviti pekerja di negara ini mencatat penguncupan iaitu 1.1 peratus pada suku kedua, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam laporan Produktiviti Buruh Suku Kedua 2023.
Dalam pada itu, katanya, jumlah pekerjaan di Malaysia meningkat kepada 16.1 juta orang, tumbuh 2.8 peratus tahun ke tahun pada suku kedua.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata dalam suku dikaji, jumlah jam bekerja meningkat 4.0 peratus kepada 9.3 bilion jam.
"Dari segi nilai, produktiviti buruh per jam bekerja pada suku kedua 2023 ialah RM40.60, manakala produktiviti buruh diukur sebagai nilai ditambah bagi setiap pekerja menunjukkan peningkatan marginal sebanyak 0.02 peratus untuk merekodkan nilai sebanyak RM23,407.
"Merujuk kepada prestasi mengikut sektor bagi produktiviti buruh yang diukur sebagai nilai ditambah per jam bekerja, dua sektor mencatatkan peningkatan didahului oleh sektor Pembinaan pada 3.5 peratus (ST1 2023: 6.5%), dan diikuti oleh sektor Perkhidmatan pada 0.1 peratus, manakala tiga sektor mencatatkan penurunan, iaitu, Perlombongan & pengkuarian pada -6.7 peratus, Pembuatan pada -3.9 peratus dan Pertanian pada -2.9 peratus," katanya.
Mohd Uzir berkata, empat subsektor utama yang menunjukkan kenaikan dalam sektor Perkhidmatan adalah Pengangkutan & penyimpanan (5.6 peratus); diikuti Perkhidmatan lain (4.5 peratus); Hartanah & perkhidmatan perniagaan (2.8 peratus); dan Perdagangan borong dan runcit (0.8 peratus), manakala subsektor lain merekodkan pertumbuhan negatif.
"Sementara itu, produktiviti buruh bagi sektor Pembuatan didahului terutamanya oleh subsektor Produk mineral bukan logam, logam asas & produk logam yang direka (3.9 peratus) dan Produk tekstil, pakaian & kulit (3.8 peratus).
"Dari segi prestasi mengikut sektor bagi produktiviti buruh yang dinyatakan sebagai nilai ditambah per pekerja, sektor Pembinaan mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun yang lebih ketara sebanyak 5.2 peratus, diikuti sektor Perkhidmatan pada 1.0 peratus, manakala tiga sektor iaitu Perlombongan & pengkuarian, Pembuatan dan Pertanian masing-masing turun sebanyak -3.0 peratus, -2.6 peratus dan -1.3 peratus," katanya.
Subsektor pemangkin bagi pertumbuhan dalam sektor Perkhidmatan didahului oleh Pengangkutan & penyimpanan (6.6 peratus); diikuti Hartanah & perkhidmatan perniagaan (4.9 peratus); Perkhidmatan lain (3.9 peratus); Utiliti (3.0 peratus); Perdagangan borong dan runcit (2.7 peratus); dan Makanan & minuman dan penginapan (0.5 peratus); manakala subsektor lain merekodkan pertumbuhan negatif.
Tiga subsektor dalam sektor Pembuatan menunjukkan kenaikan iaitu Produk tekstil, pakaian dan kulit (8.5 peratus); Produk mineral bukan logam, logam asas & produk logam yang direka (3.9 peratus); dan Minuman & produk tembakau (3.5 peratus).
"Walaupun dijangkakan pertumbuhan ekonomi yang sederhana tahun ini, produktiviti buruh dijangka mencatatkan prospek yang lebih baik," tambah Mohd Uzir.