KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka memperuntuk perbelanjaan pembangunan yang lebih tinggi sebanyak RM94.5 bilion dalam Belanjawan 2025 daripada unjuran RM88.5 bilion pada 2024, untuk meningkatkan sektor infrastruktur.
Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB) dalam satu nota penyelidikan berkata, pengangkutan dijangka terus mencakupi bahagian paling besar dalam perbelanjaan pembangunan, terutamanya dipacu oleh pemulihan semula semula projek Transit Aliran Berkapasiti Tinggi 3 (MRT3) dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (KL-SG HSR).
Perbelanjaan pembangunan lain mungkin ditumpu untuk meningkatkan daya tahan pertanian, pelaburan dalam pendidikan, penjagaan kesihatan dan perumahan mampu milik, serta keselamatan negara di tengah-tengah ketegangan serantau.
Kenanga IB juga menjangkakan perbelanjaan mengurus yang lebih tinggi sebanyak RM306.5 bilion diperuntukkan dalam Belanjawan 2025 berbanding RM302.5 bilion dalam unjuran 2024, meskipun jangkaan penghapusan subsidi bahan api RON95 pada separuh kedua 2025.
Menurutnya, hasil kerajaan diunjurkan meningkat semula sebanyak 4.3 peratus kepada RM316.5 bilion pada 2025 berbanding unjuran penguncupan 3.6 peratus (RM303.5 bilion) pada 2024, atau dibandingkan dengan sasaran 2024 Kementerian Kewangan sebanyak RM307.6 bilion.
"Peningkatan ini dijangka didorong oleh langkah meningkatkan hasil dan pengembangan berterusan aktiviti ekonomi domestik," katanya.
Dari segi ekonomi, Kenanga IB mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2025 sebanyak 4.8 peratus berbanding unjuran lima peratus bagi 2024 berikutan peningkatan risiko luaran.
Bank pelaburan itu juga mengunjurkan defisit fiskal sebanyak empat peratus daripada KDNK pada 2025 berbanding unjuran 4.5 peratus pada 2024, memandangkan jangkaan pertumbuhan KDNK yang lebih perlahan tahun depan mungkin membantutkan usaha mengurangkan perbelanjaan dan pembaziran yang tidak perlu.
"Kami juga menjangka kerajaan memperuntukkan RM5 bilion hingga RM10 bilion dalam dana luar jangka sebagai penampan, yang berpotensi sebagai rangsangan sekiranya berlaku kemelesetan global.
"Kami mengesyorkan agar kerajaan mengutamakan dasar propertumbuhan dengan memberi tumpuan kepada projek bernilai tinggi yang mempunyai kesan pengganda kukuh untuk merangsang ekonomi dalam persekitaran yang mencabar ini," katanya.
Mengenai kutipan cukai, Kenanga IB berkata walaupun cukai penggunaan meluas kemungkinan besar tidak dilaksanakan dalam masa terdekat, kerajaan dijangka memberi tumpuan kepada langkah alternatif seperti melaksanakan sepenuhnya e-Invois dan memperkenalkan Cukai Minimum Global.
Kenanga IB juga berharap kerajaan mengutamakan kutipan cukai pendapatan dengan memudahkan sistem cukai dan menangani pengelakan dan pengecualian cukai untuk meningkatkan hasil.
-BERNAMA