Trending
Lain-lain (Bisnes)

BNM arah penanggung insurans, pengendali takaful semak semula harga

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) mengarahkan penanggung insurans dan pengendali takaful (ITO) untuk menyemak strategi penentuan semula harga untuk memastikan pelaksanaan yang lebih wajar.

Dalam satu kenyataan hari ini, BNM berkata, hal ini termasuk menguruskan secara berterusan kenaikan premium/sumbangan dengan mengambil kira impak terhadap pemegang polisi/peserta takaful.

"Di samping itu, ITO dikehendaki menyediakan pilihan penyelesaian yang sesuai untuk pemegang polisi/peserta yang sangat terkesan disebabkan oleh peningkatan premium/sumbangan bagi terus mempunyai perlindungan insurans/takaful.

"ITO juga perlu memastikan pilihan penyelesaian yang disediakan adalah bermakna dan menyediakan langkah-langkah tambahan untuk menyokong pemegang polisi/peserta takaful yang terjejas.

"Maklumat lanjut mengenai pilihan tersedia akan diumumkan oleh industri insurans/takaful dalam masa terdekat," katanya.

Bank pusat itu berkata, pihaknya peka mengenai kebimbangan mengenai penentuan semula harga insurans perubatan dan kesihatan (MHIT) oleh ITO yang telah memberikan impak terhadap pemegang polisi/peserta takaful.

"BNM kekal komited bagi memastikan orang ramai terus mempunyai akses

kepada produk insurans dan takaful yang bersesuaian," katanya.

Dalam pada itu BNM berkata, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kos penjagaan kesihatan telah meningkat dengan ketara berikutan inflasi kos perubatan dan peningkatan penggunaan perkhidmatan dan prosedur perubatan.

"Oleh itu, pembaharuan yang komprehensif dan terlaras untuk membendung inflasi kos perubatan adalah sangat penting bagi memastikan akses berterusan kepada produk perlindungan MHIT yang bersesuaian.

"Pihak berkepentingan yang relevan (termasuk ITO, Kementerian Kesihatan,

Persatuan Hospital Swasta Malaysia, pengamal perubatan, kumpulan pengguna, pemegang polisi/peserta takaful) dan BNM perlu bekerjasama untuk mencapai matlamat ini," katanya.

Related Article