Trending
Pasaran

Nilai ringgit jatuh lagi

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini bagi hari ketiga berturut-turut berikutan mata wang negara maju itu yang mengukuh, kata penganalisis.

Pada 6 petang, mata wang tempatan merosot berbanding dolar AS kepada 4.4225/4260 daripada 4.4185/4200 sewaktu ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata ringgit kekal lemah berbanding dolar AS dengan bergerak sekitar paras RM4.42.

"Ini menimbulkan sentimen enggan mengambil risiko terus berlaku, sekali gus menyebabkan permintaan yang lebih tinggi ke atas dolar AS.

"Paras rintangan serta-merta pada paras sekitar RM4.44.

"Susulan kebimbangan terhadap kemelesetan di AD, kami percaya ringgit tetap lemah buat masa ini," katanya.

Beliau berkata, pada bulan ini, pasaran mungkin akan menyaksikan satu lagi mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang akan diadakan antara 26 dan 27 Julai ini.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan menokok berbanding pound Britain kepada 5.2800/2842 daripada 5.3168/3186 pada Selasa dan meningkat berbanding euro kepada 4.5220/5256 daripada 4.5511/5526.

Bagaimanapun, ringgit susut berbanding yen Jepun kepada 3.2682/2710 daripada 3.2530/2543 dan lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.1504/1531 daripada 3.1486/1502 semalam.

-BERNAMA

Related Article