Trending
Pasaran

Bursa Malaysia didagang tidak menentu

KUALA LUMPUR: Kemunculan kegiatan memburu saham berharga murah selepas indeks utama merosot ke paras rendah dua tahun pada penutupan urus niaga semalam mendorong FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dibuka lebih tinggi pagi ini, sebelum kembali perlahan.

Pada jam 9.05 pagi, indeks utama meningkat sebanyak 2.44 mata kepada 1,423.29 daripada 1,420.85 penutupan urus niaga Rabu.

Indeks penanda aras itu meningkat 0.19 mata lebih tinggi pada 1,421.04 pada pembukaan urus niaga pagi ini.

Pergerakan harga di pasaran secara keseluruhan menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung 98 berbalas 89, manakala 187 kaunter tidak berubah, 1,850 tidak diniagakan dan tujuh yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 76.80 juta unit bernilai RM41.18 juta.

Menurut Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng, kegiatan memburu saham berharga murah muncul pagi ini terutamanya pada saham perbankan manakala stok perladangan dijangka terus merosot berikutan penyusutan harga minyak sawit mentah yang ditutup pada RM3,965 satu tan semalam.

"Kami mengunjurkan indeks akan bergerak dalam aliran antara 1,415 hingga 1,430 hari ini. Sementara itu, minyak mentah Brent turun lagi kepada sekitar AS$101 setong berikutan permintaan yang lebih rendah," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menokok tiga sen kepada RM8.65, CIMB naik tiga sen menjadi RM5.13 sementara Public Bank, Petronas Chemicals dan IHH Healthcare, kesemuanya tidak berubah, masing-masing pada RM4.39, RM8.65 dan RM6.38.

TNB pula turun dua sen kepada RM7.92 dan Press Metal kerugian satu sen menjadi RM4.50.

Bagi saham aktif, Datasonic menambah satu sen kepada 45 sen, Matang dan Dagang Nexchange tidak berubah, masing-masing pada 9.5 sen dan 75.5 sen, Seng Fong Holdings yang mula disenaraikan di Pasaran Utama susut empat sen kepada 71 sen, Hibiscus Petroleum turun 4.5 sen kepada 88 sen dan Eduspec lemah setengah sen kepada 1.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas peroleh 14.36 mata kepada 10,118.91, Indeks FBM Emas Syariah menambah 13.35 mata menjadi 10,162.06, Indeks FBM 70 meraih 7.82 mata kepada 12,181.09, Indeks FBMT 100 lebih tinggi sebanyak 14.47 mata kepada 9,876.91 dan FBM ACE menokok 4.33 mata kepada 4,631.05.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan mengembang 16.09 mata kepada 16,081.85, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.44 mata kepada 175.04, dan Indeks Perladangan meningkat 34.77 mata kepada 6,506.56.

– Bernama

Related Article