Trending
Pasaran

Sentimen pelabur jejas Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah pada Khamis berikutan sentimen semasa yang berhati-hati dalam pasaran, kata penganalisis.

Pada jam 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.16 mata atau 0.15 peratus untuk mengakhiri dagangan pada 1,418.69 daripada 1,420.85 ketika ditutup pada Rabu.

Indeks penanda aras itu dibuka 0.19 mata lebih tinggi kepada 1,421.04 sebelum bergerak di antara 1,418.69 dengan 1,425.85 sepanjang hari ini.

Lingkungan pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 430 berbanding 364, manakala 423 kaunter tidak berubah, 1,007 kaunter tidak diniagakan dan tujuh yang lain digantung.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 1.94 bilion unit bernilai RM1.45 bilion daripada 2.16 bilion unit bernilai RM1.63 bilion pada Rabu.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata ekuiti Malaysia ditutup rendah dengan jualan dilihat terutama dalam saham tenaga dan barangan perindustrian, manakala aktiviti pembelian dilihat khususnya di kaunter penjagaan kesihatan dan perladangan.

Beliau berkata, sentimen pasaran akan kekal berhati-hati dalam jangka masa pendek ekoran turun naik ketara pasaran serantau yang meningkat.

"Oleh itu kami menjangkakan FBM KLCI didagangkan dalam julat 1,415 hingga 1,435 sebelum menjelangnya hujung minggu, dengan paras rintangan serta-merta pada 1,600 dan sokongan pada 1,460," katanya kepada Bernama.

Kalangan saham wajaran tinggi, TNB naik dua sen kepada RM7.96, Petronas Gas tidak berubah pada RM16.40, Maybank susut empat sen kepada RM8.58, Public Bank kurang tiga sen kepada RM4.36, Petronas Chemicals merosot 31 sen kepada RM8.34 , IHH Healthcare menguncup lima sen kepada RM6.33 dan CIMB susut satu sen kepada RM5.09.

Bagi saham aktif, Top Glove menokok tujuh sen kepada RM1.01, TA Win naik setengah sen kepada 8.5 sen, Widad tidak berubah pada 36.5 sen, Seng Fong turun tujuh sen kepada 67.5 sen, Reach Energy kurang setengah sen kepada empat sen dan Hibiscus Petroleum menguncup lima sen kepada 87.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas kurang 12.42 mata kepada 10,092.13; Indeks FBM Emas Shariah naik 3.86 mata kepada 10,152.57; FBM 70 turun 11.24 mata kepada 12,162.03; FBM ACE susut 22.72 mata kepada 4,604.0 dan Indeks FBMT 100 susut 13.61 mata kepada 9,848.83.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 68.51 mata kepada 15,997.25; Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian kurang 3.68 mata kepada 171.8 manakala Indeks Perladangan melonjak 116.68 mata kepada 6,588.47.

Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 1.24 bilion saham bernilai RM1.31 bilion daripada 1.42 bilion saham bernilai RM1.47 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 468.15 juta unit bernilai RM77.60 juta daripada 431.29 juta unit bernilai RM77.84 juta semalam.

Jumlah dagangan Pasaran ACE pula sebanyak 240.47 juta saham bernilai RM61.11 juta berbanding dengan 304.42 juta saham bernilai RM82.19 juta.

Kaunter barangan dan perkhidmatan pengguna menyumbang 129.06 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, barangan dan perkhidmatan perindustrian (415.0 juta), pembinaan (25.40 juta), teknologi (123.02 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (53.46 juta), hartanah (67.87 juta), perladangan (31.53 juta), REIT (7.08 juta), dana tertutup (5,000), tenaga (209.62 juta), penjagaan kesihatan (113.09 juta), telekomunikasi dan media (33.66 juta), pengangkutan dan logistik (13.92 juta) serta utiliti (12.38 juta).

-BERNAMA

Related Article