Trending
Teknologi

Teknologi AI urus pengunjung Genting SkyWorlds

GENTING HIGHLAND: Alibaba Cloud menjalin kerjasama dengan Genting Malaysia Bhd (GENM) bagi menghasilkan Virtual Queue (VQ) Solution dikuasakan Kecerdasan Buatan (AI) yang pertama di rantau ini.

VQ Solution Alibaba Cloud menggunakan AI itu memberikan pengalaman yang lancar dan menarik kepada pengunjung Taman Tema Genting SkyWorlds melalui aplikasi mudah alih Genting SkyWorlds.

Pengurus Besar Malaysia, Alibaba Cloud Intelligence, Kun Huang, berkata penyelesaian itu membolehkan pengurusan pengunjung dibuat secara lebih cekap dan mengurangkan masa menunggu secara dinamik.

Katanya, ia membabitkan tempahan VQ menggunakan algoritma AI yang maju dan masa nyata dari masa menunggu permainan sehingga pemprosesan.

"Penyelesaian ini membolehkan pasukan operasi Genting SkyWorlds mengawal pergerakan pengunjung dengan lebih baik dan mengoptimumkan kapasiti permainan," katanya dalam taklimat media di Genting Highland, hari ini.

Huang berkata, menerusi penyelesaian Alibaba Cloud untuk Genting SkyWorlds, taman tema itu dapat mengendalikan jumlah pengunjung yang lebih tinggi, selain mengurus trafik yang berlebihan dengan selamat melalui platform awan.

"Alibaba Cloud telah mendapat pengiktirafan antarabangsa bagi inovasi teknologinya dan kami teruja untuk memulakan langkah berteknologi tinggi ini bersama Genting SkyWorlds.

"Sistem VQ ini dicipta khas untuk Genting SkyWorlds dengan menggunakan teknologi awan yang terkini, kukuh dan selamat untuk memberikan pengalaman taman tema yang luar biasa kepada pengunjung," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden dan Ketua Operasi Taman Tema Resorts World Genting, Greg Pearn, berkata kerjasama dengan Alibaba Cloud ini menjadikan Genting SkyWorlds sebagai taman tema pertama di Asia Tenggara yang menampilkan teknologi VQ.

Beliau berkata, ia membolehkan pengunjung melangkaui barisan yang panjang serta bebas memilih aktiviti yang digemari dan pada masa yang ditetapkan oleh mereka sendiri.

Aplikasi mudah alih Genting SkyWorlds kini tersedia untuk dimuat turun secara percuma melalui Google Play Store dan Apple App Store.

Dalam perkembangan lain, Huang berkata, Alibaba Cloud yang juga cabang utama Alibaba Group untuk teknologi digital dan kepintaran akan terus melabur di Malaysia dengan menyediakan infrastruktur dan perkhidmatan pengkomputeran awan terbaik.

Beliau berkata, berdasarkan kajian yang dilaksanakan pihaknya, Malaysia masih mempunyai peluang besar untuk memperkasakan ekonomi digital.

"Kami melihat banyak peluang dalam ekonomi digital di Malaysia. Permintaan juga sangat tinggi.

"Justeru, Alibaba Cloud akan terus melaksanakan pelaburan berkualiti dan membantu perniagaan berskala besar dan juga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) beralih ke arah digital," katanya.

Huang berkata, Malaysia juga menjadi pasaran penting dan hab serantau kepada Alibaba Cloud yang ketika ini mempunyai dua pusat data dan beberapa kemudahan lain di Malaysia selain tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidangnya.

Katanya, tenaga kerja mahir Alibaba Cloud di Malaysia bukan sekadar memberikan perkhidmatan kepada pelanggan dalam negara, tetapi turut menyokong ekosistem perkhidmatan kumpulan di ASEAN.

"Malaysia penting kepada kami. Kemudahan Alibaba Cloud yang ada di sini menjadikan Malaysia sebagai hab serantau.

"Kami yakin, Malaysia akan menjadi peneraju dalam ekonomi digital dan kami akan terus memberikan perkhidmatan untuk memperkasakan ekosistem perniagaan di negara ini," katanya.

Related Article