Trending
Usahawan

Pernas salur RM8.3 juta bantu usahawan menerusi BIT

KUANTAN: Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) setakat ini telah menyalurkan sejumlah RM8.3 juta menerusi program Transformasi Perniagaan (BIT) sebagai inisiatif bagi melahirkan lebih ramai usahawan tempatan.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya Mazlan Ibrahim berkata program yang diperkenalkan sejak 2013 itu berjaya melahirkan 2,000 usahawan pra-francaisi serta memberi peluang pekerjaan kepada lebih 4,000 orang.

Menurutnya, BIT adalah program transformasi peniagaan usahawan kecil ke arah francais dan setakat ini mencatat pendaftaran 184 jenama manakala pihaknya turut menyasarkan 22 lagi usahawan baharu pra-francais pada tahun ini.

"Bagi menambah baik BIT, pakej pembiayaan pra-francaisi itu turut dinaikkan kepada RM50,000 daripada RM25,000 untuk memberi peluang kepada bakal usahawan memiliki konsep perniagaan lebih baik," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Mini BIT Expo (BITe) di sini, hari ini.

Mazlan turut berkongsi pencapaian ramai peniaga kecil di bawah BIT yang telah berjaya mengembangkan perniagaan dengan pertambahan bilangan outlet seperti Shala Pizza, Pandan Cendol, Mekeria dan D'Sara Fried Chicken.

Dalam pada itu, mengulas program hari ini, beliau berkata pihaknya menyasarkan penganjuran Mini BITe tersebut dapat menjana potensi pembiayaan sebanyak RM300,000.

"Hari ini seramai 16 usahawan BIT telah hadir dan mempamerkan model perniagaan masing-masing. Oleh itu, saya berharap pengunjung dapat menggunakan peluang ini untuk meningkatkan sumber pendapatan selain membantu merancakkan pertumbuhan industri francais," katanya.

Beliau berkata, Pernas juga giat turun padang mencari produk-produk menarik yang boleh diketengahkan sebagai pra-francais selain menyediakan pembiayaan, latihan, bimbingan serta khidmat nasihat.

– Bernama

Related Article