Trending
Usahawan

Program TUBE sasar jualan RM150 juta

KUALA LUMPUR: SME Corp Malaysia menyasarkan nilai jualan terkumpul untuk program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) meningkat antara lima hingga 10 peratus kepada lebih RM150 juta pada akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Nainy, berkata setakat Jun lalu, nilai jualan terkumpul program itu ialah sebanyak RM140.6 juta.

Katanya, sejak mula dilancarkan pada 2014, TUBE telah melatih seramai sejumlah 6,782 belia untuk menceburi bidang perniagaan.

"Daripada jumlah ini, 6,633 usahawan atau 98 peratus berjaya diwujudkan berdasarkan perniagaan yang didaftarkan.

"Sejumlah RM43.23 juta geran perniagaan telah disalurkan kepada peserta yang berjaya dan hasilnya, program TUBE mencatatkan nilai jualan terkumpul berjumlah RM140.6 juta sehingga Jun 2022.

"Program ini juga telah berjaya mewujudkan 12,242 peluang pekerjaan, termasuk untuk peserta program itu sendiri," katanya pada sidang media selepas perasmian program TUBE@PEMERKASA di sini, hari ini.

Program dilancarkan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Muslimin Yahaya.

Yang turut hadir, Pengerusi SME Corp, Datuk Seri Syed Hussin Al-Habshee.

Mengulas lanjut, Rizal berkata, program TUBE @PEMERKASA pada kali ini bercadang untuk memberi keutamaan kepada belia yang terbabit atau berhasrat menerokai perniagaan dalam sektor agromakanan.

Katanya, ini termasuk memberi keutamaan dalam proses saringan dan pemilihan peserta untuk disenarai pendek dan juga untuk ditawarkan geran perniagaan.

"Langkah ini diharap dapat melahirkan lebih ramai usahawan muda dalam sektor agromakanan bagi memastikan rantaian agromakanan yang kukuh dan stabil.

"SME Corp juga akan mempergiat aktiviti libat urus dan pemantauan dengan Alumni TUBE, termasuk meningkatkan akses kepada pembiayaan bagi menyokong perkembangan perniagaan Alumni TUBE yang berdaya maju.

"Ini diharapkan dapat menyokong pertumbuhan ekonomi negara sejajar dengan peralihan ke arah fasa endemik," katanya.

Related Article