Trending
Usahawan

Mustapa rasmi cawangan Richiamo Coffee di Menara Prisma

PUTRAJAYA: Richiamo Coffee Sdn Bhd membuka cawangannya ke-99 di Menara Prisma Presint 3 Putrajaya.

Cawangan ini adalah konsep kiosk pertama yang dibuka oleh Richiamo Coffee.

Ia dirasmikan oleh Menteri Unit Perancang Ekonomi (EPU), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan Richiamo Coffee, Mohamad Zamry Abu Samah dan tetamu jemputan lain.

Cawangan ke-99 itu dimiliki dan dikendalikan oleh Empire Coffee Works, cawangan ketiga selepas Wisma Bernama Kuala Lumpur dan Universiti Malaysia Perlis.

Pengarah Eksekutif Empire Coffee Works, Wan Najib Wan Daud, berkata pembukaan cawangan di Menara Prisma adalah hasil perbincangan dengan pengurusan dan pemilik bangunan itu iaitu Pelaburan Hartanah Bhd yang menawarkan tempat untuk pihaknya beroperasi dan menawarkan perkhidmatan tambahan kepada pekerja terutama kakitangan EPU dan Kementerian Kesihatan serta bangunan-bangunan bersebelahan.

"Sebagai sebuah syarikat milik 100 Bumiputera, Richiamo Coffee selalu menekankan agar jenama ini boleh ditembusi oleh semua golongan lapisan masyarakat agar ia boleh berkembang sejajar dengan usaha kebelakangan ini", katanya.

Selain di Menara Prisma, dua lagi cawangan Richiamo Coffee yang telah beroperasi berdekatan di Putrajaya ialah di Presint Diplomatik dan Tamarind Square Cyberjaya.

Ketika ini, jumlah keseluruhan cawangan Richiamo Coffee yang telah beroperasi di seluruh negara ialah 105 cawangan.

Pada majlis itu Mustapa turut meluangkan masa melihat bagaimana kopi 'dibancuh' di kafe berkenaan yang menyajikan pelbagai variasi kopi termasuk Americano, Latte dan Espresso.

Malah, Mustapa juga turut membuat sentuhan peribadi dengan membuat minuman Latte.

Richiamo Coffee Menara Prisma juga menghidangkan menu makanan barat dan tempatan seperti patin masak tempoyak, daging salai, siput sedut salai dan itik salai serta asam pedas tenggiri.

Selain itu, kek dan pastri turut dijual.

Related Article