Trending
Amerika

Suntikan dos keempat vaksin COVID-19 diperlukan

WASHINGTON: Ketua Pegawai Eksekutif Pfizer, Dr Albert Bourla, berkata kebanyakan individu perlu mendapatkan suntikan keempat vaksin COVID-19 untuk terus melindungi diri daripada coronavirus.

Beliau berkata langkah itu perlu memandangkan perlindungan sedia ada semakin berkurangan, lapor akhbar New York Post semalam.

"Ini satu keperluan untuk kebanyakan orang,'' katanya dalam temu bual rancangan 'Face The Nation' di stesen televisyen CBS.

Beliau berkata demikian selepas ditanya sama ada penduduk Amerika Syarikat (AS) perlu menerima suntikan dos penggalak tahunan pada setiap musim luruh.

AS sebelum ini sudah pun meluluskan suntikan dos keempat vaksin bagi mereka yang lemah daya tahan badan.

Bulan lalu, Pengarah Institut Alahan dan Penyakit Berjangkit Kebangsaan (NIAID), Dr Anthony Fauci, berkata kemungkinan suntikan vaksin keempat sedang 'dipantau secara teliti'.

Menurut Bourla, dua suntikan awal berserta dos penggalak tidak dapat melindungi masyarakat daripada semua varian COVID-19 kerana kekuatannya akan pudar.

Beliau turut mengakui bahawa pengambilan suntikan dos keempat adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

"Pada masa ini, perlindungan yang anda peroleh daripada suntikan dos ketiga sudah cukup baik untuk mengelakkan kemasukan ke hospital dan sakit teruk, namun ia tidak begitu baik untuk melawan jangkitan serta tidak dapat bertahan lama,'' katanya.

Sementara itu, Pfizer dan syarikat farmaseutikal lain dilaporkan sedang menghasilkan dos vaksin yang akan melindungi manusia daripada sebarang varian pada masa hadapan.

"Kami sedang berusaha dengan gigih untuk menghasilkan bukan saja vaksin yang dapat melindungi manusia daripada semua varian termasuk Omicron, malah dapat memberi perlindungan sekurang-kurangnya setahun,'' katanya. - AGENSI