Trending
Amerika

Rakyat AS berhak bawa senjata api, lindungi diri

WASHINGTON: Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) memutuskan bahawa rakyat negara itu berhak membawa senjata api di tempat awam sebagai perlindungan susulan beberapa kes tembakan rambang di negara itu.

Ia sekali gus membatalkan undang-undang berusia ratusan tahun di New York yang memerlukan seseorang itu membuktikan keperluan memiliki senjata api.

Presiden AS, Joe Biden, mengecam keputusan itu dan menyifatkannya sebagai bercanggah dengan Perlembagaan.

Keputusan penghakiman itu turut menjejaskan beberapa negeri lain, termasuk California yang mengguna pakai undang-undang kawalan senjata api yang sama.

Semalam, Mahkamah Agung AS buat pertama kali mengisytiharkan bahawa Perlembagaan negara itu melindungi hak individu untuk membawa senjata api di khalayak ramai bagi tujuan mempertahankan diri.

Keputusan itu menyaksikan kemenangan besar kumpulan penyokong hak bersenjata yang memperjuangkan hak individu membawa senjata api di tempat awam untuk pertahanan diri, di negara yang berbelah bahagi berhubung kawalan senjata api.

Keputusan 6-3 itu dengan hakim konservatif memperoleh majoriti dan hakim liberal pula mempunyai pandangan sebaliknya, menyebabkan terhapusnya had ditetapkan di New York sebelum ini yang tidak membenarkan senjata api dibawa keluar dari rumah.

Mahkamah mendapati bahawa undang-undang yang digubal pada 1913 itu melanggar hak seseorang untuk 'menyimpan dan mengangkat senjata' yang termaktub dalam Pindaan Kedua Perlembagaan AS.

Keputusan yang ditulis oleh Hakim Clarence Thomas itu boleh menjejaskan sekatan hampir sama di negeri lain dan mengundang risiko kepada jenis sekatan senjata api negeri dan peringkat perbandaran lain di seluruh negara.

Di bawah undang-undang New York sebelum ini, pemohon yang ingin mendapat permit membawa senjata tanpa had perlu meyakinkan pegawai pelesenan negeri mengenai keperluan sebenar, bukannya bersifat spekulatif seperti untuk mempertahankan diri.

Kebanyakan pemohon menerima lesen tanpa had, yang mana kebenaran diberikan secara lebih bebas di kawasan luar bandar berbanding New York, yang mempunyai kepadatan penduduk lebih tinggi.

Pihak berkuasa juga boleh memberikan lesen terhad kepada kegiatan seperti memburu atau latihan menembak.

Penyokong kawalan senjata menyuarakan kebimbangan kerana keputusan itu boleh menjejaskan langkah sekatan senjata api seperti undang-undang 'bendera merah' yang menyasarkan individu menggunakan senjata api dianggap berbahaya oleh mahkamah.

Ia juga memperluaskan pemeriksaan latar belakang jenayah untuk pembeli senjata api atau sekatan ke atas penjualan senjata api 'buatan sendiri' iaitu yang dipasang daripada komponen dibeli secara dalam talian dan tidak dapat dikesan.

Mereka juga bimbang keputusan itu boleh menjejaskan larangan senjata api di tempat sensitif seperti lapangan terbang, hospital dan sekolah.

Keputusan itu secara langsung akan menjejaskan sekurang-kurangnya enam negeri iaitu New York, California, Hawaii, Maryland, Massachusetts dan New Jersey serta Daerah Columbia.

Semua negeri berkenaan membenarkan pihak berkuasa memutuskan sama ada penduduknya boleh membawa senjata api di khalayak ramai, walaupun mereka melepasi kriteria seperti pemeriksaan latar belakang jenayah.

Ia dilihat mengekang keupayaan pihak berkuasa tempatan untuk menghalang orang awam daripada membawa senjata api di khalayak ramai, sekali gus meningkatkan risiko jenayah berkaitan. - AGENSI

Related Article