Trending
Amerika

Meta lancarkan alat pendengar VR AS$1,500

WASHINGTON: Pemilik Facebook, Meta, melancarkan 'headphone' atau set pendengar VR canggih dengan harapan orang ramai akan menggunakan peranti itu untuk tujuan kerja dan bermain dalam dunia 'metaverse'.

Set pendengar Meta Quest Pro bernilai AS$1,500 (RM7,007) itu menggunakan penderia resolusi tinggi yang membolehkan orang melihat gabungan antara dunia nyata dan maya dalam spesifikasi warna penuh.

Ia juga dilengkapi peranti penjejak pandangan dan spesifikasi lain seperti 'ekspresi muka semula jadi', yang meniru pergerakan muka pemakai supaya avatar mereka kelihatan semula jadi apabila berinteraksi dengan avatar lain dalam dunia maya.

Dikenali sebagai Facebook sebelum ini, Meta kini melakukan transformasi korporat yang akan mengambil masa bertahun-tahun lamanya untuk diselesaikan.

Firma gergasi teknologi itu mahu berkembang daripada penyedia pentas sosial kepada kuasa dominan dalam 'sektor' binaan alam maya atau apa yang mereka gelar 'metaverse'.

Dunia 'metaverse' umpama menghidupkan internet ke dalam kehidupan atau sekurang-kurangnya pentas itu dipaparkan dalam bentuk 3D.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mark Zuckerberg, menyifatkan 'metaverse' sebagai persekitaran maya yang mengasyikkan dan menjadi tempat di mana orang boleh 'memasukinya' secara maya dan bukan hanya menatap skrin peranti.

Untuk menzahirkan hasrat itu, syarikat berkenaan melabur berbilion dolar dalam rancangan yang mungkin menelan masa bertahun lamanya.

Set pendengar VR sudah popular dalam kalangan sesetengah permainan video tetapi Meta sedar ia tidak mencukupi untuk membawa 'metaverse' ke dalam arus perdana.

Oleh itu, ia memperkenalkan pejabat maya dan pejabat maya di rumah untuk menempatkan pekerjanya.

"Meta meletakkan set pendengar Meta Quest Pro baharu sebagai alternatif kepada penggunaan komputer riba," kata Pengasas dan Pengarah Urusan VRdirect, Rolf Illenberger, yang menghasilkan persekitaran VR untuk perniagaan.

Namun, tambah beliau, perjalanan bagi kemasukan dunia 'metaverse' ke dalam sektor perniagaan masih lagi jauh.

Meta juga mengumumkan bahawa avatar 'metaverse' syarikat itu bakal memiliki 'kaki tidak lama lagi, satu aspek penting yang kekurangan sejak avatar mula membuat penampilan sulung tahun lalu. - AP