Trending
Asia

India segerakan bantuan makanan, ubat kepada Sri Lanka

COLOMBO: Sri Lanka menerima bekalan beras dan ubat-ubatan yang dihantar negara jirannya, India hari ini ketika berdepan krisis ekonomi yang mengakibatkan bekalan keperluan asas di pasar raya dan farmasi habis sama sekali.

Kekurangan mata wang asing yang kritikal menyebabkan Sri Lanka tidak mampu membayar kos import makanan, bahan api dan ubat-ubatan untuk memenuhi permintaan penduduknya sejak akhir tahun lalu.

Krisis ekonomi yang belum pernah berlaku dalam sejarah negara itu menyebabkan majoriti 22 juta penduduknya berdepan kesukaran dan hidup semakin melarat.

Seluruh negara turut berdepan berdepan gangguan bekalan elektrik berpanjangan dan inflasi yang melonjak tinggi sehingga menjejaskan perbelanjaan isi rumah.

India menambah pinjaman sebanyak AS$1.5 bilion (RM6.6 bilion) untuk membolehkan Sri Lanka terus memenuhi sebahagian daripada keperluan makanan dan tenaganya.

Penghantaran bantuan yang dibuat hari ini menyusuli lawatan kumpulan pakar India bagi rundingan berkaitan bantuan.

"Kedua-dua pihak membincangkan secara panjang lebar tindakan pada masa depan mengenai program bantuan India untuk menstabilkan dan memulihkan ekonomi Sri Lanka," kata pejabat Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa, selepas mesyuarat itu.

Kekurangan petrol yang kritikal menyebabkan Sri Lanka lumpuh sepanjang minggu ini dengan Parlimen membatalkan persidangan selama dua hari untuk membantu menjimatkan minyak.

Minggu lalu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merayu bantuan makanan kecemasan selepas tinjauan menunjukkan empat daripada lima rakyat Sri Lanka terpaksa berlapar dengan mengurangkan pengambilan makanan susulan krisis itu.

Delegasi Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) dijangka tiba di ibu negaranya, Colombo, minggu depan untuk menilai krisis berkenaan.

Rabu lalu, Perdana Menteri Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe, memberitahu Ahli Parlimen bahawa ekonomi negara itu sudah 'tumbang sepenuhnya'.

Untuk rekod, Sri Lanka gagal membayar hutang asingnya yang berjumlah AS$51 bilion (RM224.5 bilion) dan sedang dalam rundingan 'bailout' dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), yang mungkin mengambil masa berbulan untuk dimuktamadkan. - AFP

Related Article