Trending
Asia

Perang Israel-Palestin masuk hari kedua

BAITULMAQDIS: Israel menyerang Gaza dan Palestin melancarkan roket ke arah bandar Israel hari ini, selepas operasi Israel terhadap pejuang Jihad Islam menamatkan ketenteraman lebih setahun di sempadan.

Semalam, Israel membunuh seorang komander kanan militan dalam serangan udara mengejut terhadap sebuah bangunan di Bandar Gaza, sebelum Jihad Islam bertindak balas dengan serangan roket.

Israel mendakwa pihaknya menyerang pejuang Jihad Islam hari ini ketika sedang bersedia melancarkan roket serta menyerang pos kawalan.

Saksi memaklumkan, serangan turut menghentam lima kediaman, menyebabkan kepulan asap dan serpihan menjulang ke udara, ketika letupan menggegarkan Bandar Gaza.

Pejuang Palestin melancarkan sekurang-kurangnya 160 roket merentasi sempadan, menyebabkan siren serangan udara dibunyikan dan penduduk di bandar Modiin, Israel, bersembunyi di dalam tempat perlindungan bom.

Kumpulan Jihad Islam memaklumkan menyasarkan beberapa lokasi serangan, termasuk Lapangan Terbang Ben Gurion, namun roket hanya sampai dekat Modiin, kira-kira 20 kilometer dari sasaran.

Pihak Berkuasa Penerbangan Israel memaklumkan lapangan terbang itu kekal beroperasi seperti biasa, dan hanya laluan penerbangan diubah.

Menurut perkhidmatan ambulans Israel, kebanyakan peluru berpandu berjaya dipintas dan tiada laporan mengenai korban yang serius.

Usaha untuk menamatkan pertempuran itu dari Mesir, Qatar dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sedang berjalan, dan keadaan itu bergantung sama ada Hamas yang mengawal Gaza, turut serta dalam pertempuran.

Serangan Israel membunuh 14 warga Palestin, termasuk sekurang-kurangnya empat lagi pejuang Jihad Islam dan seorang kanak-kanak, serta mencederakan sekurang-kurangnya 110 individu, kata Kementerian Kesihatan Palestin.

"Ini masa untuk menentang, bukan berdamai," kata seorang jurucakap kumpulan itu.

Sementara itu, Ketua Pengawal Revolusi Iran, Mejar Jeneral Hossein Salami,, berkata Palestin tidak bersendirian dalam perang menentang Israel,

"Hari ini, semua keupayaan anti Zionis berada di hadapan, bersatu untuk membebaskan Baitulmaqdis dan mempertahankan hak penduduk Palestin," katanya dalam satu kenyataan di laman sesawang rasmi angkatan itu, Sepah News.

Sementara itu, dalam pertemuan dengan pemimpin Jihad Islam Palestin, Ziad al-Nakhala, di Tehran, beliau memberitahunya bahawa Iran akan bersama mereka sehingga akhir dan pastikan Palestin tahu mengenai janjinya itu. - AGENSI