Trending
Asia

Taiwan tuduh Beijing adakan simulasi ceroboh pulau itu

TAIPEI: Taiwan menuduh tentera China mengadakan simulasi serangan ke atas pulau terbabit tatkala Beijing meneruskan tindak balasnya terhadap lawatan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) Nancy Pelosi ke Taiwan.

Hubungan antara dua kuasa besar itu semakin tegang susulan lawatan Pelosi ke jiran China itu - yang dituntut Beijing sebagai wilayahnya - mencetuskan gesaan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengendurkan ketegangan itu.

Beijing meneruskan latihan ketenteraan terbesarnya sekitar Taiwan semalam, latihan mengepung dan akhirnya pencerobohan ke atas pulau itu, menurut penyelidik.

Taipei menyatakan ia menyaksikan 'beberapa kumpulan' pesawat dan kapal China beroperasi di Selat Taiwan, sebahagiannya merentas garis pemisah yang membahagikan selat itu, yang tidak diiktiraf Beijing.

"Mereka dilihat seakan menjalankan simulasi serangan ke atas pulau besar Taiwan," menurutnya.

Tentera pulau demokratik itu mengerahkan rondaan udara dan darat serta sistem peluru berpandu di darat dalam tindak balasnya, menurut kementerian pertahanan menerusi Twitter.

Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, semasa pertemuannya dengan rakan sejawatan beliau dari Filipina semalam berkata, Washington 'bertekad untuk bertindak dengan bertanggungjawab' bagi mengelak sebarang krisis besar sejagat.

Beijing menegaskan akan menarik diri daripada siri rundingan dan perjanjian bekerjasama dengan Washington - terutama mengenai perubahan iklim dan kerjasama pertahanan.

Bagaimanapun, Blinken berkata China tidak seharusnya menggunakan rundingan mengenai isu-isu keprihatinan masyarakat antarabangsa untuk menghukum AS, kerana ia 'menjejas seluruh dunia'.

Dalam usaha menunjukkan betapa dekatnya tentera China dengan pantai Taiwan, tentera Beijing semalam mengeluarkan video seorang juruterbang pasukan tentera udara yang merakam garis laut dan kawasan pergunungan daripada kokpitnya.

Tentera Komando Timur China berkongsi gambar kapal perang yang sedang meronda lautan sekitar Taiwan yang menampakkan garis laut secara terang-terangan.

Tentera Taiwan semalam turut mengeluarkan beberapa gambar salah sebuah kapal perangnya yang sedang memantau kapal China yang berdekatan, dan anggota tentera menghidupkan sistem peluru berpandu berpangkalan di darat.

Latihan ketenteraan itu juga menyaksikan Beijing melancarkan peluru berpandu balistik ke arah ibu kota Taiwan, menurut media China.

Beijing menyatakan ia juga akan melancarkan latihan tembakan menggunakan peluru hidup di bahagian selatan Laut Kuning - terletak di antara semenanjung China dan Korea - mulai semalam hingga 15 Ogos.

Taiwan terus bersikap ingkar, menegaskan ia tidak tergugat oleh 'jiran jahatnya'. - AFP