Trending
Asia

Serangan udara di Gaza mungkin berlarutan seminggu

GAZA CITY: Tentera Israel semalam memberi amaran serangan udara ke atas pejuang Palestin di Gaza mungkin berlarutan sehingga seminggu, ketika kebakaran rentas sempadan berlarutan hingga hari kedua yang mana ia adalah peningkatan terburuk sejak perang tahun lalu.

Israel berkata, terpaksa melancarkan operasi 'pintas' ke atas Jihad Islam, mendakwa kumpulan itu merancang serangan selepas beberapa hari ketegangan di sepanjang sempadan Gaza.

Pihak berkuasa kesihatan Palestin, yang dikawal kumpulan Hamas, berkata seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun adalah antara 15 orang yang terkorban dalam pengeboman itu, manakala lebih 120 lagi cedera.

Di Jabalia, utara Gaza, Fouad Farajallah semalam meninjau rumahnya yang terkena serangan Israel.

"Saya sedang duduk bersama isteri dan anak di atas sofa, tiba-tiba semuanya menimpa kami," katanya, menceritakan detik serangan Israel itu yang mana mereka dikelilingi serpihan bumbung yang sebahagiannya runtuh dan mencederakan isteri dan anak lelakinya.

Serangan berterusan Israel disusuli bedilan roket bertubi-tubi dari Palestin, mencetuskan kebimbangan konflik 11 hari yang memusnahkan Gaza, pada Mei 2021, berulang.

Kehidupan harian di kawasan itu terhenti, manakala pengedar elektrik berkata, stesen janakuasa tunggal ditutup kerana kekurangan bahan api selepas Israel menutup sempadannya.

Orang awam di pihak Israel berlindung di tempat perlindungan serangan udara, tetapi tiada laporan mengenai kematian.

Nadav Peretz, penduduk di Kibbutz Nahal Oz, iaitu komuniti Israel di sebelah sempadan Gaza, berkata dia 'di tempat perlindungan bom atau berhampirannya' sejak kelmarin.

"Kami menyedari di sisi lain juga terdapat penduduk awam tidak terbabit, dan kanak-kanak di kedua-dua pihak berhak menikmati percutian musim panas," katanya. - AFP